-->

Thursday, August 31, 2006

Risalah Percuma

Risalah itu dibawa secara percuma. Tidak pernah dikenakan bayaran dari Penciptanya. Dari tangan lembut mulus seharum kasturi hinggalah ke hari ini. Ada yang berbau belacan, keju dan zabadi. Risalah ini tidak akan terhenti. Pasti ada tangan-tangan yang akan menyambut dan mengedarkannya. Sunahnya, pasti juga ada tangan-tangan yang menepis dan menghalangnya.

Dulu risalah-risalah ini ditulis dipelepah-pelepah kurma. Di atas kulit kayu dan belulang. Dari kertas kuning dan putih. Hinggalah ditulis atas pancaran cahaya. Hanya boleh ditatap mata. Risalah percuma ini penyampaiannya berbeza, isinya tetap sama.

Risalah itu walaupun percuma. Bukannya tidak berharga. Cuma tiada harga yang sepatutnya diletakkan untuk membelinya. Tidak ternilai harganya. Tiada tandingannya. Tiada yang seumpamanya. Kerana ia bukan dari usaha manusia.

Meskipun percuma. Tak ramai yang meminatinya. Tak ramai memilikinya. Tak ramai membacanya. Tak ramai cuba memahami isinya. Tak ramai yang cuba mengamalkannya. Tak ramai cuba menyampaikannya kepada orang lain.

Bersaksilah bahawa hanya Allah yang layak disembah. Nabi Muhammad pesuruh Allah. Sampaikanlah berita gembira indahnya Syurga. Sampaikanlah ancaman panas dan pedih azab Neraka. Dunia ini hanyalah sementara. Kehidupan di Akhirat kekal selamanya.

Bergembiralah penerus Risalah ini. Janji manis akan menanti. Bukan janji dari lidah manusia. Tapi dari Allah Taala. Tidak pernah sekali memungkiri janjinya. Pemilik Syurga dan Neraka.

[+] Read More

Thursday, August 24, 2006

Susah Gak Eh..

Lom tengok depan mata. Cuma dengar cerita. Dah berkenan. Bila pandang jer, terus sangkut. Bajet-bajet boleh dapat. Terus usha. Tak tunggu sampai malam. Petang tu jugak pegi. Mula-mula timbang-timbang dengan qanaah. Timbang-timbang pulak dengan untung. Layankan untung. Tinggalkan qanaah. Dasar nafsu tak pernah puas. Selagi mampu. Semua nak disapu. Dalam kepala ada dua tiga lagi hajat yang lom kesampaian.

Bajet-bajet untung. Rupanya tidak. Silap percaturan. Bila dah dapat, tak seindah yang dibayangkan. Mula perasaan menyesal bertandang. Pening kepala. Serba serbi tak kena. Cuba untuk menenangkan perasaan. Memujuk hati. Membuai rasa. Agar boleh menerima kehadiran yang baru ini. Berbelah bagi. Yang lama nak letak mana.

Yang lama tu cantik lagi. Elok lagi. Not bad lah. Takde pun buat masalah. Masih boleh tahan. Ada orang lain berkenan kat aku punya. Masih lagi disayangi. Kenapa eh nak carik yang lain. Orang lain boleh setia pada yang satu. Tak tukar pun dengan yang baru. Biar ler yang datang tu lebih anggun. Lebih ranggi. Kenapa orang lain ok. Aku jugak tak boleh tahan. Tamak siot.

Yang lama tu dah serasi. Dah tau perangai dia. Dah tau apa yang ada dan apa yang kurang. Takyah nak pening-pening kepala. Tak macam layan yang baru. Nak kenal satu persatu. Sampai naik kekok. Yang baru ni kena jaga elok-elok. Tahap sayang tu masih tinggi. Takmau lah tercalar atau terluka. Baru dapatlah katakan.

Tapi bila dibandingkan dengan yang lama. Rupanya yang lama lebih baik. Ada kelebihan yang tak didapati pada yang baru. Cuma dia kurang cantik. Cuma dia dah tua sket. Ikutkan sangat nafsu. Sendiri tanggung ler.

Aku berkata dalam hati. Takkan ku tambah satu lagi (boleh caya ker?). Cukuplah dua yang harus ku jaga. Pastinya yang lama takkan ku sia-siakan. Sebab aku masih sayang. Dan kalau ada yang sudi pada yang baru. Aku sudi melepaskannya. Asalkan setuju dengan syaratku. Huhu.

[+] Read More

Monday, August 21, 2006

Sepohon Kayu...

Allah telah berfirman, ertinya...

"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun. Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki". surah Ibrahim ayat 24-27.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud...
Abu Zar r.a meriwayatkan bahwa ada sekali Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya. Pada masa itu ialah musim daun-daun gugur. Baginda mengambil ranting sebatang pohon yang daun-daunnya mulai berguguran,seraya Baginda s.a.w bersabda,"Ya Abu Zar! Apabila seorang muslim menunaikan solatnya kerana ALLAH, dosanya gugur seperti daun-daun ini gugur dari pohon ini".

Ibnu Asyakir pernah berkata...
"Ulama' yang jahat menjunjung dunia di atas kepala mereka. Sedang akhirat dipijak di bawah telapak kaki. Kata-kata mereka bagaikan penawar. Sedang perbuatan mereka adalah racun. Mereka bagaikan pohon difla (oleander). Memukau siapa yang memandang. Membunuh siapa yang memakannya".

Dzunnun Al-Mishri mengajar kita...
Tradisi para nabi dan orang-orang sholeh; membalas keburukkan dengan kebaikan. Jadilah seperti pohon buah-buahan di tepi jalan, yang dilempar orang dengan batu. Tetapi ia membalas dengan menggugurkan buah yang telah ranum. Ahsin kamâ ahsanallâhu ilaik, berbuatlah baik sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu.

Pepatah Melayu pernah berkata...
Sepohon kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar.

Nan berseluk urat, nan berjumbai akar, nan berlambai pucuk. Kalau pandai mencencang akar, mati lalu ke pucuknya. Kuat akar kerana tunjang, kuat tunjang kerana akar. Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah.

Aku pernah menyanyikan nasyid ini...
Sepohon kayu, daunnya rimbun
Lebat bunganya serta buahnya
Walaupun hidup seribu tahun
Kalau tak sembahyang apa gunanya...

[+] Read More

Saturday, August 19, 2006

Siapakah Yang Bersalah

Pepatah Melayu pernah bilang... berani kerana benar, takut kerana salah. Tapi sekarang ini, seakan-akannya dunia sudah terbalik. Bukan posisi atau putarannya. Tapi istilah kehidupannya.

Dulu... seorang hakim dipecat dari jawatannya. Gara-gara dia ingin menyelamatkan akidah seorang gadis yang memeluk agama Islam dengan rela hatinya. Bukan dihipnosis atau dipaksa. Juga bukan ditipu sama cinta.

Lepas itu... seorang wakil rakyat dipenjara hanya kerana membantu seorang nenek yang ingin kes cucunya menjadi mangsa rogol diambil perhatian. Gara-gara skandal VIP. Pelaku onar terlepas. Penghalangnya ditahan.

Pernah juga... seorang Mufti disebuah wilayah terpaksa meletakkan jawatan. Gara-gara kes gadis-gadis Melayu yang terlibat dengan pertandingan ratu cantik. Macam tak bersalah kalau mereka melucutkan pakaian. Yang menegur pula dilucutkan...

Suatu masa... sebuah jabatan yang bertugas untuk membenteras maksiat disebuah kota terpaksa membatalkan saman terhadap pesalah. Gara-gara yang terlibat dalam penangkapannya adalah selebriti dan juga anak-anak orang besar. Malah dimaki pulak tu.

Bebaru ini... sebuah filem yang mencemar budaya dan seni menang anugerah. Apa benar kelakuan Pak Bilal senang melihat pelacur pulang kerja?. Apa pelacuran diiktiraf sebagai pekerjaan?. Apa benar kelakuan nurse-nurse muda memang begitu bila ketemu pesakit lelaki?. Apakah curang harus dibalas curang juga?.

Hari ini, yang melakukan kesalahan itu sepertinya orang yang melakukan kebenaran. Tidak takut. Malah syok bangga. Sebaliknya orang-orang yang benar, takut untuk menegur kejahatan. Bagai berada ditempat orang-orang bersalah.

[+] Read More

Saturday, August 12, 2006

Rempit

Dari kecik lagi dia dah belajar berlumba. Seingat aku dari umur dia 7 tahun. Sejak dia mula masuk sekolah. Memula dia tak handal. Tapi orang biasa kata... bakat itu bermula dari bangku sekolah lagi.

Allah kurniakan dia kehebatan. Selalu jadi juara. Podium pun dah bosan agaknya. Bila dia saja yang memijaknya. Tapi tak semua yang indah itu berkekalan. Orang jugak selalu kata... yang sedap tu hanya sementara. Aku akui kebenarannya.

Bila dia masuk sekolah menengah. Ayah dia hantar sekolah asrama. Kehebatan merempit dah kian pudar. Dia malas nak berlumba. Dia tak sehebat dulu. Mungkin dia banyak saingan. Tapi dia tidak pernah gagal walaupun tak jadi juara.

Masa sekolah menengah, dia pernah menang lagi. Bukan kerana dia terer. Cuma lawan yang silap percaturan. Mesin tidak dapat dikawal sepenuhnya. Dia menamatkan perlumbaan bergaya. Tetap ada rasa bangga. Aku tumpang gembira.

Ingat lagi, dia benar-benar ingin berlumba. Kerana dua perkara. Pertama. Dia ingin mengalahkan musuhnya. Kedua. Kerana cinta. Akhirnya dia berjaya. Menjulang kembali gelar juara.

Sekarangni dia tak macam dulu. Keinginan untuk berlumba seolah-olah telah tiada. Santai. Membiarkan saja mesin-mesin memecut laju. Membingitkan telinganya. Tapi darahnya tidak mendidih seperti dulu. Dibiarkan saja berlalu meninggalkannya. Apakah sebab dia tiada musuh dan cinta.

Aku ingin sekali melihat dia merempit sekali lagi. Bukan kerana ingin menjadi juara. Cukuplah kalau dia menggunakan mesin yang cukup berkuasa itu dengan maksima. Bukan dipacu dengan santai. Dibiarkan berdebu. Akhirnya tersadai.

[+] Read More