-->

Tuesday, March 6, 2007

Cinta Sebelum Kahwin

Bila ditanya tentang hukum bercinta, dan aku bertanyakanlah kembali dimanakah cinta? Tanyakanlah dimanakah cinta suci yang indah itu di zaman ini. Aku tidak mengatakan cinta itu telah lenyap tetapi ianya telah berlalu - Dr Isra' Abdul Mon'iem.

Cinta adalah fitrah manusia. Allah telah menetapkan jalan yang terbaik mengikut syara' untuk memenuhi naluri fitrah ini. Islam tidak pula melarang seseorang untuk dicintai dan menyintai, bahkan Rasulullan menganjurkan agar cinta tersebut dilafazkan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Apabila seseorang menyintai saudaranya maka hendaklah ia memberitahu bahwa ia menyintainya” Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi.

Telah menjadi fitrah seorang lelaki mempunyai perasaan terhadap wanita, dan begitulah sebaliknya. Firman Allah Taala yang bermaksud “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang Yang berfikir.” Surah Ar-Ruum ayat 21.

Cinta sebelum kahwin tidak dapat lari dari dua perkara:

Pertama:
Seseorang itu tidak berusaha meneruskan cintanya. Contohnya seorang lelaki melihat seorang perempuan, lalu jatuh cinta. Sebagai seorang yang bertakwa dia tidaklah melanjutkan perbuatannya kepada sesuatu yang diharamkan seperti terus memerhatikan, atau mengutus surat ataupun membuat temujanji. Tetapi dia berusaha kepada perhubungan yang diredhai dengan melaksanakan pernikahan. Ketika itu dia telah melakukan kebaikan atas kesabarannya dan ketakwaannya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud "Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling menyintai kecuali nikah". riwayat Ibnu Majah

Dari Anas ra, dari Nabi saw, beliau bersabda:
“Ada tiga hal dimana orang yang memilikinya akan merasakan manisnya iman, iaitu menyintai Allah dan rasul-Nya melebihi segala-galanya, menyintai seseorang hanya karena Allah, dan enggan untuk menjadi kafir setelah diselamatkan Allah daripadanya sebagaimana enggannya kalau dicampakkan ke dalam api.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Kedua:
Cinta itu hadir dengan usaha dan pilihan manusia. Seperti sering mengurat wanita, dan sering bercakap dan berutusan atau sebagainya dari perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Tidak ada keraguan bahawa cinta seperti ini dilarang oleh Islam. Walaupun dengan niat melengkapi cinta ini dengan perkahwinan.

Kata-kata manis dan indah, rindu-rinduan, berdua-duaan, berhias-hiasan akan membawa kepada perkara yang diharamkan Allah. Walau niat asalnya baik atau tujuan akhirnya perkahwinan. Kerana selagimana bermulanya dengan perlakuan yang terlarang tidak akan sempurna kesudahannya. Realiti telah membuktikan. Siapa yang ingin mendapat bimbingan dari Allah dalam perkahwinan mereka, tidak akan membina di atas perkara yang diharamkan dan mendatangkan kemurkaan dari Allah.

Antara perilaku sumbang pasangan bercinta:

1. Memandang kepada bukan mahram
Firman Allah di dalam surah an-Nur, ayat 30, mafhumnya: "Katakanlah pada lelaki yang beriman: hendaklah mereka menjaga pandangan dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka… ".

2. Berjumpa dan berjalan berdua-duaan
Seorang perempuan tidak dibenarkan bermusafir sendirian, dan bertemu lelaki ajnabi sendirian, seperti sabda Nabi s.a.w: " Tidak bermusafir seorang perempuan kecuali ada bersamanya mahramnya, dan tidak boleh seseorang masuk menemuinya kecuali ada mahramnya."- hadis riwayat Imam Bukhari.

3. Berpegangan tangan
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "sekiranya seseorang itu mencucuk kepalanya dengan jarum besi, itu adalah lebih baik baginya dari menyentuh perempuan yang tidak halal baginya"- riwayat Tabrani dengan sanad yang soheh.

4. Berdua-duaan, dating atau khalwah ajnabiyah
Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan"-Riwayat Imam Ahmad.

“Ya Allah, kurniakanlah kepada kami cinta terhadap-Mu dan cinta kepada mereka yang mencintai-Mu, dan apa saja yang mendekatkan kami kepada cinta-Mu, dan jadikanlah cinta-Mu itu lebih berharga bagi kami daripada air yang sejuk bagi orang yang dahaga.”

Cinta adalah fitrah manusia?

No comments: