-->

Tuesday, June 12, 2007

Bujang Lapuk

Bujang Lapuk ni bukan pasal nak bagi ulasan cerita P. Ramlee. Bukan jugak ditujukan untuk Abdullah Badawi sang Perdana Menteri. Selamat Pengantin Baru. Sebenarnya aku nak cari tulisan mengenai Syurga. Entri lain kali Insya Allah. Tapi terjumpa pulak artikel Bujang Lapuk ni... so layan.

Orang yang tidak suka berkahwin kerana tujuan mencari ilmu pengetahuan atau beribadat, ataupun untuk menjauhkan diri dari urusan dunia dan tanggungjawabnya, di samping itu hatinya tidak cenderung kepada wanita dan tidak kepingin mempunyai isteri, maka hukumnya tidak mengapa ia meninggalkan nikah dan tidak berdosa. Pendapat ini telah dinyatakan oleh sebahagian ulama dan para salaf soleh, malah setengah-setengah mereka mengamalkannya.

Sesetengah mereka apakala ditanya: Mengapa tidak kahwin? Mereka menjawab: Aku tidak mampu untuk membetulkan diri sendiri, betapa dapat ku tambah satu diri lagi. Yang lain apakala ditanya: Mengapa tidak kahwin? Jawabnya: Kalau boleh diriku ku lepaskan, niscaya akan ku lepaskannya.

Kepada Bisyril-Harits rahimahullah ditujukan satu soal: Sesungguhnya orang ramai memandang hairan kepadamu. Kata mereka: Anda telah meninggalkan yang sunnat, maksudnya tidak berkahwin. Jawabnya: Katakanlah kepada mereka itu, bahwasanya aku sedang sibuk menunaikan yang wajib.

Pada pendapatku (Imam Abdullah ibn Alawi al-Haddad), adalah baik bagi orang yang mahu berkahwin meniatkan berkahwin kerana mahu menyelamatkan agama dan diri di akhirat. Kalau ia meninggalkan pun, ia meniatkan untuk memelihara agama dan mengutamakan segi keselamatan diri. Ketika itu sama ada ia berkahwin atau tidak, ia telah tetapkan haluannya atas niat yang baik, yang akan mendekatkan dirinya kepada Allah Taala.

Adapun orang yang menggantungkan niatnya untuk berkahwin atau tidak berkahwin atas cita-cita dunia dan matabendanya, ataupun kehendak tabiat dan syahwat, maka sebenarnya ia berada jauh dari petunjuk yang benar dan tidak bertauladan kepada orang-orang soleh dari para salaf. Allah sajalah yang memberi taufiq dan bantuan, tiada Tuhan melainkan Dia.

*artikel dicilok dari Nasihat Agama Dan Wasiat Iman.

Sebuah Hadis buat renungan:

وعن أنس رضي الله عنه قال جاء ثلاثة رهط إلى بيوت أزواج النبي صلى الله عليه وسلم يسألون عن عبادة النبي صلى الله عليه وسلم فلما أخبروا كأنهم تقالوها وقالوا أين نحن من النبي صلى الله عليه وسلم قد غفر له ما تقدم من ذنبه وما تأخر قال أحدهم أما أنا فأصلي الليل أبدا وقال الآخر وأنا أصوم الدهر أبدا ولا أفطر وقال الآخر وأنا أعتزل النساء فلا أتزوج أبدا فجاء رسول الله صلى الله عليه وسلم إليهم فقال أنتم الذين قلتم كذا وكذا ؟ ! أما والله إني لأخشاكم لله وأتقاكم له لكني أصوم وأفطر وأصلي وأرقد وأتزوج النساء فمن رغب عن سنتي فليس مني متفق عليه

Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadith dari Anas bin Malik, katanya : Tiga orang sahabat datang berkunjung ke rumah isteri-isteri Nabi s.a.w. menanyakan tentang ibadat yang dikerjakan oleh Baginda. Setelah mendapat jawapan, mereka merasa bahawa ibadat mereka terlalu sedikit bila dibandingkan dengan ibadat Rasullah s.a.w.

Mereka berkata sesamanya: "Bagaimana ibadat kita dibandingkan Nabi s.a.w. - baginda telah diampunkan Allah dosanya yang telah lalu dan akan datang?. Maka salah seorang dari mereka itu berkata: "Aku akan sembahyang Tahajjud setiap malam." Dan seorang yang lain akan berkata:"Aku akan berpuasa sepanjang tahun, dan tidak akan berbuka." Dan seorang yang lain lagi berkata: "Aku akan mengasingkan diri dari orang perempuan, dan aku tidak akan berkahwin selama-lamanya" Maka datang Rasulullah s.a.w., lalu bersabda:

Kamukah yang telah berkata begitu? Ingat dan ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang yang sangat takut terhadap Allah, dan sangat taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadang-kadang aku tidak berpuasa, dan aku sembahyang, dan aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah pengikutku (bukan dari kalangan ummahku). -Riwayat Bukhari dan Muslim.

No comments: