-->

Saturday, November 25, 2006

Dari Sudut Berbeza

Siapa tahu, lemon yang masam boleh menjadi jus yang enak dan menyegarkan. Itulah yang penting dalam kehidupan manusia. Mengubah dari suatu yang kurang baik kepada yang lebih baik. Tidaklah penting hidup ini sentiasa memperolehi keberuntungan. Tapi yang paling penting ialah mengubah dari kerugian kepada keberuntungan.

As-Syahid Hassan Al-Banna pernah pergi ke sebuah kampung yang bertelingkah hingga membawa pertumpahan darah hanya kerana perselisihan bilangan rakaat solat tarawikh. Sebahagian inginkan solat 20 rakaat dan sebahagian inginkan 8 rakaat.

As-Syahid mengarahkan agar masjid ditutup setelah solat isya' dan tidak diadakan solat terawikh di masjid. Siapa yang inginkan solat tarawikh bolehlah melakukan di rumah berapa rakaat yang mereka kehendaki. Solat tarawikh hukumnya sunat. Sedangkan menjaga perdamaian suatu kewajipan. Jangan yang sunat dijaga hingga yang wajib terabai. Mengubah dari kerugian kepada keuntungan.

Ada sebahagian manusia sangat ghairah untuk mengubah kehidupan manusia lainnya yang dianggap bermasalah kepada yang baik-baik. Tetapi masalahnya ialah kenapa seringkali terlupa untuk mengubah diri sendiri. Seharusnya diri sendiri diubah kepada yang terbaik sebelum mengubah kehidupan orang lain. Supaya tidak seperti meludah ke langit.

Seringkali dipertemukan dengan manusia yang menyakitkan hati. Membuat kita merasa tidak puas hati. Mendatangkan kemarahan dan rasa bosan. Dari sudut lainnya, janganlah kita menyakitkan hati orang lain dengan melakukan perkara yang sama. Kalau kita tidak sukakan suatu perkara, pastinya orang lain mempunyai rasa yang sama.

Musuh yang bijak lebih baik dari kawan yang sengal. Rasa malu bila keburukkan kita diceritakan, maka kita memperbaikinya. Menjadikan kita manusia yang sentiasa berhati-hati. Itu terlebih baik dari kita sentiasa dibuai dengan pujian tetapi membinasakan.

Allah telah bersabda yang bermaksud "dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." surah Al-Baqarah ayat 216.

Dari sudut berbeza, kita bertemu kepahitan dalam masa yang sama kita mengenal dan menghargai kemanisan.

No comments: