-->

Sunday, May 28, 2006

Anjing Tuan Anjing

Lepaskan anjing-anjing. Arahkan mereka. Biar mereka menggigit kambing-kambing itu. Biar mereka bertempiaran lari. Biarpun digigit di depan keluarga sendiri. Tuan anjing cukup berpuas hati. Tersenyum lebar. Kerana anjing terlatih ini seringkali menenangkan keadaan. Bagaikan perisai atas nama keamanan.

Jangan biarkan mereka membuat bising. Kerana tuan anjing hendak tidur di hari minggu. Siram mereka. Kalau tidak takut dengan air biasa. Campurkan saja bahan kimia. Biarkan mereka rasa. Tangkap mereka. Gonggong mereka. Simpan mereka dalam kandang kita. Jangan peduli apa yang mereka kata. Kerana memprotes keputusan tuan anjing dianggap derhaka.

Setiap minggu kambing buat bising. Mana tidaknya. Makanan semakin mahal. Air begitu juga. Api naik harga. Kambing kena bayar harga untuk semua itu. Bukan percuma. Kena bagi susu. Kena bagi daging. Anak kambing pun tak cukup susu. Ni tuan anjing punya kerja. Sampai ke kulit kalau ada harga, tuan anjing akan rampas.

Tapi yang hairannya. Ada kambing yang selamba. Tak kisah. Malah setuju dengan keputusan tuan anjing. Kerana tuan anjing buatkan kandang untuk mereka. Buatkan jalan untuk mereka. Buatkan jamban untuk mereka melabur. Kerana tuan anjing akan menjanjikan kemajuan buat warga kambing. Kambing ini masih mampu tersenyum. Senyum kambing.

No comments: