-->
Showing posts with label Bingkisan. Show all posts
Showing posts with label Bingkisan. Show all posts

Friday, November 6, 2009

Sisa-Sisa Kebaikan

Ketika kasih sayang hampir layu, carilah sisa-sisa kebaikan yang pernah kita rasai untuk menjadi baja pohon kasih sayang kita. Mudah-mudahan, kasih sayang tidak mati dan kebencian tidak tumbuh bersulam. Benih kebencian amat cepat bercambah walaupun ketika kasih sayang tengah subur. Jadi, jangan biarkan biarkan tunjang kasih sayang kereputan.. walaupun bunga cinta telah gugur kelayuan..

Kenapa kasih sayang perlu dikorbankan, sedangkan tumbuhnya tidak sehari. Kenapa perlu kebencian disemai padahal tidak pernah mendatangkan keuntungan sama sekali. Sekali kebencian itu tumbuh, Syaitan segera membajanya. Kerana api dendamnya tidak pernah terpadam.

Kasih sayang walaupun sedikit pasti berharga dan mesti dihargai. Kerana setitis kasih sayang takkan sama selautan kebencian. Kerana setitis kasih sayang mampu memadam marak api kebencian. Setitis kasih sayang untuk makhluk di dunia moga menjadi pengundang setitis kasih sayang dari Maha Pengasih di akhirat kelak.

Lupakah pada maksud firman Allah dalam Hadis Qudsi.. "sesungguhnya kasih sayangku mengalahkan murkaKu"

Ya Allah.. Sesungguhnya kami telah menganiaya diri kami, maka jika bukan kerana keampunan Mu dan rahmat yang Engkau kurniakan kepadaa kami, sesungguhnya jadilah kami orang-orang yang rugi.


[+] Read More

Saturday, November 22, 2008

Hari Ini Mereka Telah Berjaya

Kenapa? Kerana mereka telah membina semalam. Berusaha untuk hari esok. Benih yang di tanam, akan berbuah esok. Jika mereka hanya memakan tanpa memikirkan apa yang akan berlaku esok. Mungkin pupus dan kemusnahan adalah satu jawapan.

Semalam, mungkin di tertawakan. Di goda kemalasan. Dibayangi kegagalan. Terjatuh ketika sedang merangkak dan bertatih. Bangkit dan penerusan dalam istiqamah. Membuat mereka hari ini mampu tersenyum. Bagi mereka yang mentertawakan? Apa salahnya meniru untuk kebaikkan.

Esok, suatu yang belum pasti. Tapi boleh dirancang hari ini. Masih ada lagi istilah mencuba. Masih ada lagi yang bernama usaha. Pasti ada sinar di hujung kegelapan. Cahaya ketika mendung berarak pergi. Jangan biarkan kabus menyeliputi. Atau mata terus terpejam. Hati terus dibutakan. Kejayaan tidak akan datang bertandang.

Berjaya, memanglah sukar. Memakan masa yang lama. Suatu yang pahit. Tapi kejayaan teramat manis rasanya. Mereka menelan segala kepahitan, memiliki ketahanan hingga bertemu kemanisan. Tidak semua orang mampu melakukan. Tetapi semua orang mampu mencuba.

Tersenyum, bila mereka menoleh kebelakang. Mereka mengecapi. Mereka telah melalui. Mereka mungkin menghulurkan tangan. Mungkin juga hanya sekadar jelingan dan senyuman.

[+] Read More

Sunday, June 3, 2007

Sekelip Mata Berubah

Taufik bagaikan tidak percaya saat terpandang seorang gadis berkebaya putih tanpa kerudung melewati ruang matanya. Hatinya berkata "inikah Hidayah yang pernah aku kenali..."

Hidayah gadis solehah, menjaga kehormatan dan berpegang teguh pada agama. Kenapa kini telah berubah. Kalau dulu dia amat sopan berjubah dan melabuhkan jilbabnya. Wajah lembutnya ditutupi kain cadar. Membuatkan lelaki ingin mengintai di balik cadar itu. Kini paparannya gratis saja.

Mungkinkah tertipu dengan Dunya yang penuh pancaroba sedangkan Hidayah dulunya pelajar yang pintar. Hidayah belajar hingga ke universiti. Pernah mendapat gelar siswa terbaik. Tidak cukupkah ilmunya untuk memelihara imannya.

Mungkinkah ini angkara hiruk-pikuk Ashimah yang membahang dan merimaskan sehingga memaksa Hidayah mengubah penampilannya. Tidak tahan dengan panahan mata-mata jengkil dan kata-kata menghina. 'Tak up to date' meluluhkan niqab dan hijab.

Apakah ini godaan Amwal, sehingga membuat Hidayah lupa pada ajaran agama. Melupakan segala yang telah di pelajari sejak kecil. Semua yang telah diamalkan selama ini. Apakah kaitannya. Amwal mampu memukau. Amwal mampu menyesatkan pemujanya.

Atau ini penangan godaan cinta si Rijal. Kata-kata manis dan rayu memaksa Hidayah mempamerkan keindahan rambutnya. Melupakan bahawa auratnya perlu di jaga. Katakan saja cinta itu membutakan.

Atau ini pengaruh Zumala'. Hidup dalam era kemodenan di negara Malaysia Boleh. Membolehkan saja apa yang difikirkan boleh. Boleh blah bagi apa-apa jua yang tidak boleh. Zaman ranggi metropolitan. Selamat tinggal gaya gadis kampungan.

Taufik tidak mengerti mengapa gadis seperti Hidayah menanggalkan tudungnya. Sedangkan gadis-gadis di luar sana berjuang mempertahankan hak mereka. Mempertahankan hijab mereka yang cuba di singkap.

Taufik tidak mendapat jawapan atas perubahan Hidayah. Dia termangu. Hidayah yang akrab di waktu kecilnya mula berubah. Hati kecilnya berkata "mengapakah segalanya terjadi..."

Taufik inginkan Hidayah yang dulu. Tapi setelah hari ini, Taufik harus mencari kembali Hidayah yang pergi. Taufik tidak akan membiarkan insan yang akrab dengannya lemas dalam lumpur metropolitan. Bagaimanakah harus bermula...

Ketika daun-daun itu mula kekeringan dan luruh, haruskah aku memaksa dia kembali bertunas. Sedangkan akarnya terus kekeringan. Tanpa disirami dan tanpa dibajai. Aku mungkin hanya ingin mengikuti kehendak hatiku. Agar ia berdaun kembali. Tanpa aku tahu mengapa semua itu berlaku. Mengapa ia layu dan berguguran.

رَبّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبنَا بَعْد إِذْ هَدَيْتنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْك رَحْمَة إِنَّك أَنْتَ الْوَهَّاب

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya.

[+] Read More

Saturday, December 9, 2006

Lukisan Terindah

Saat warna-warna belum disatukan. Sepertinya tidak bermakna. Semua orang boleh memilikinya. Harganya pun tak seberapa. Setelah dipalitkan di atas kanvas, lapisan-lapisan warna mampu menenangkan jiwa. Membangkitkan inspirasi. Menghiasi dinding suram. Ia menjadi pujaan. Kerana ia telah bercerita tentang sebuah perasaan.

Kanvas yang menjadi latar. Tempat curahan perasaan. Menerima kehadiran warna-warna terindah. Aplikasi warna-warna bersatu. Mengungkapkan sebuah perasaan yang tak mampu diluahkan dengan kata-kata. Ungkapan tentang cinta, pengorbanan, kesetiaan, kesabaran, tawa, tangisan, gurauan, kejujuran dan ketulusan.

Itulah gerak hati sang pelukis. Kesungguhan tercurahkan untuk menghasilkan yang citra terindah dalam hidup. Narasi yang mengungkap alam pikiran. Sesuatu yang mampu diabadikan. Menjadi kenangan keindahan yang diciptakan.

Dari renungan tajam mata sang pencinta. Pesona cuba memahami seribu makna. Tapi segala-galanya hanya mampu ditafsirkan oleh akal dan perasaan. Memaksa meleburkan harta untuk memilikinya. Sampai berjuta-juta. Ada juga tak ternilai. Hanya dibenarkan untuk memandangnya.

Pada sebuah lukisan terindah. Hanya pada siapa yang mampu menilainya. Terlalu sukar untuk diterjemahkan dan difahami rahsia sebuah penciptaan. Bukan hanya ilham dan lakaran dikotak minda. Apatah lagi pada gabungan warna, kanvas, berus, pisau palet atau apa saja bentuk wahananya. Semuanya harus bergabung menjadi satu. Lukisan terindah pemberian dari yang Maha Pencipta.

[+] Read More

Tuesday, October 24, 2006

Si Pemalas Dan Kemalasannya

Hari-hari bagi Si Pemalas dan kemalasannya adalah sama. Tiada perbezaan Walaupun yang namanya hari itu sentiasa beredar. Sentiasa bertukar. Mendekatkan lagi kepada garis penamat. Mendekatkan kepada kematian. Si Pemalas sentiasa menyedari. Kemalasannya menyebabkan segalanya tidak akan berubah.

Ketika Ramadhan datang, Si Pemalas merasa gembira. Kerana dia merasakan bulan ini adalah peluang untuk dia mengautkan keuntungan dalam beribadah. Ketika orang baru nak meneropong anak bulan. Dia sudah siap merencana ibadah yang bakal dilakukan. Sekurang-kurangnya dia akan membaca Al-Quran satu juzu' setiap hari. Mashaf baru size poket dibeli.

Apakan daya, Si Pemalas bukanlah orang yang boleh berubah sekelip masa. Kemalasannya telah lama bersarang dalam dirinya. Dia bukan orang yang melazimi membaca Al-Quran sebelum ini. Maka cita-citanya gagal dihari pertama Ramadhan. Tak sampai sejuzu' pun dia baca Kitab Suci itu.

Dia kembali bertekad. Esok akan lebih dari sejuzu'. Sebab nak cover balik apa yang ketinggalan. Rupanya segalanya berlalu tanpa ada perubahan. Dia tetap melayani kemalasannya. Hinggalah sepuluh hari telah berlalu. Cita-citanya tersasar tanpa usaha. Setakat panas-panas apam balik.

Si Pemalas sedar dengan sifatnya. Dia menanam azam lagi. Ramadhan berbaki 20 hari lagi. Masih belum terlambat. Sekurang-kurangnya perlu satu setengah juzu' sehari membaca Al-Quran. Dalam keadaan syaitan dibelenggu. Si Pemalas cuba juga untuk membaca. Tapi dia keletihan. Sebab tak biasa. Al-Quran hanya dibaca dalam solatnya sahaja. Sekadar Al-Fatehah dan beberapa surah lazim yang telah berabad dihafalnya.

Ketika Ramadhan berbaki 10 hari. Dia membayangkan kalau-kalau dia boleh membaca 3 juzu' sehari. Bermakna dia akan berjaya juga mengkhatamkan Al-QUran dalam bulan yang mulia ini. Tapi kemalasannya awal-awal lagik membantah. Menafikan. Mana mungkin. Tidak bisa. Dia melayani hasutan.

Akhirnya, Ramadhan telah berlalu. Apa yang ada hanyalah sebuah penyesalan. Mashafnya seperti semalam baru dibeli. Tinggal hanya sebuah cita-cita yang murni. Hadir pulak sebuah harapan yang baru. Menanti-nanti Ramadhan datang lagi.

Tapi apakah peluang itu akan datang. Menempuhi sebelas purnama untuk bertemu kembali. Kalaulah ditakdirkan bertemu lagi. Apakah dengan persediaan masih sama. Setapak melangkah adalah permulaan bagi perjalanan yang panjang. Tapi kalau hanya duduk diam. Ia adalah sebuah lamunan dalam angan-angan yang tiada berkesudahan.

[+] Read More

Saturday, October 21, 2006

Ketika Kita Hidup

Ketika kita hidup, kita cari dia. Bagaikan hidup seribu tahun. Kita simpan dia. Kita sayang kat dia. Hantar kat bank suruh jagakan. Hantar kat pajak gadai tolong simpankan. Tapi lepas kita meninggal. Dia pun tak ikut kita. Tinggal yang nama kain kafan jer. Gigi emas pun kena cabut. Pegi kubur pun dia tak temankan. Lepas kita mati, bakal jadik rebutan. Tu harta namanya.


Ketika kita hidup memang dah ada. Darah daging kita. Takpun kita kena cari. Hidup ni mana boleh sorang-sorang. Kena berteman. Nanti kita meninggal, diorang pegi kubur mengiring jenazah. Takpun dah menangis kat umah. Kalau masuk sampai kat dalam pun, kompom kuar balik. Silap-silap, Si penggali kubur jer yang sambut. Biarpun masa hidup pernah berjanji sehidup semati. Takkan berpisah selamanyalah. Tapi dalam kubur duduk ler sorang-sorang. Untung-untung bertemu lagik di akhirat. Lagi power kalau ada orang cakap "ku tunggu dirimu di pintu syurga". Tu ahli keluarga dan sahabat handai.

Ketika kita hidup, kita kena kerjakan dia. Tak dapat kalau kita tak buat. Apa jer yang kita kerjakan dah dikira. Kadang ditambah. Kadang dikurangkan. Kadang kena bagi kat orang. Nanti kita mati. Dia akan temankan kita. Samada yang baik ataupun yang jahat. Akan ikut kita menuju akhirat. Itu amalan kita. Samada dia akan menjadi cahaya. Ataupun menambah kegelapan. Bergantung kepada hidup kita di dunia.

[+] Read More

Tuesday, October 3, 2006

Saya Dan Ana

Ketika Saya duduk menunggu metro. Ana yang sedia ada di situ terus menyapa Saya. Bertanyakan adakah Saya dari Malaysia. Saya cuma mengiyakan. Kemudian Ana bertanya lagi. Sudah berapa lama Saya di negaranya. Saya menjawab beberapa tahun. Ana menyatakan dirinya mengikuti perkembangan Malaysia. Tanpa ditanya. Ana memang peramah agaknya.

Ana bertanya tentang keadaan negara ini. Soalan yang biasa-biasa ditanya. Saya menjawab bahwa negaranya bagus. Ana tidak puashati. Ana inginkan jawapan yang benar-benar ikhlas. Bukan jawapan mengampu atau nak menjaga hati.

Saya pun berfikir apa yang tak kena ngan negara Ana nih. Saya pun bagitau kat Ana yang negaranya banyak debu. Kat tengah bandar pun banyak debu. Mendengar jawapan saya, Ana terus cakap pasal negara Saya yang berjerebu. Lagi-lagi kat bandar besar. Menjawab rupanya.

Kat sini banyak rakyat negara asing yang menjadi mangsa penyeluk saku. Pencuri. Penyamun. Penipu. Harami. Saya mengundang keruh. A'ah, Ana mengiyakan. Saya tersenyum. Tapi kat negara Saya, rakyat negara Saya yang suka keje meragut harta orang lain. Merompak. Membuli. Sampai tahap mencederakan dan membunuh lak tu. Lagi dahsyat. Perli Ana. Giliran Ana tersenyum.

Saya pun cakap tentang negara Ana buang sampah merata-rata. Tong sampah pun boleh kira. Takde kesedaran. Tidak cintakan alam sekitar. Ana makin terbakar dengan komentar saya. Ana cakap kat negara Saya orang memang pandai buang sampah pada tempatnya. Tapi orang buang bayi pulak merata-rata. Dalam sungai ada. Dalam tandas ada. Dalam tong sampah pun ada. Ana taknak kalah.

Saya pun panas dengar kata-kata Ana. Saya pun cakap. Kat sini ramai orang kencing kat dinding. Kat jalan. Kat tempat lalu lalang. Taktau malu. Ana menjawab. Kat negara Saya orang bercumbu, berasmara di tempat umum tanpa rasa malu jugak. Macam bukan sebuah negara Islam.

Negara Saya maju. Moden. Ada LRT. Ada STAR. Ada KLIA. Ada KLCC. Tak macam kat sini. Metro pun zaman bila ntah. Bas pun tak idupkan aircond. Tandas kotor. Saya mula berbangga. Tapi semua tu dikenakan bayaran kan? Tanya Ana. Saya malas nak jawab. Mana ada yang percuma. Masuk tandas pun kena bayar.

Eh Ana, cuba Ana tengok kat sini ramai pompuan yang pakai ketat-ketat. Saya dah takde modal. Ana dengan selamba menjawab. Kat negara Saya tu, orang pompuan pakai baju tapi nampak ketiak dan pusat.

Ada saja idea Ana nih. Saya pun malas nak terus bertengkar dengan Ana. Yerlah, kan negara Ana memang bagus-bagus. Tak macam negara Saya. Saya tau Ana saja nak carik salah negara Saya. Tapi apa yang Ana cakap tu betul.

[+] Read More

Saturday, September 2, 2006

Maafkan Hamba

Peperangan ini telah lama bermula. Sejak berpuluh tahun berlalu. Berpuluh kali jua pertempuran tercetus. Namun kejayaan masih belum tercapai. Walau bayang kejayaan seakan-akan menjelma di depan mata. Tetap sukar menentukan tarikhnya.

Saban tahun hanya mengkhabarkan kegagalan. Terlalu pahit untuk dilafazkan. Sakit juga telinga yang mendengar. Pastinya amat mengecewakan bagi yang mengharapkan berita kemenangan. Maafkan hamba atas kegagalan ini. Harap tidak diundurkan dari medan ini. Walaupun setapak mara. Hamba bertekad meneruskannya jua.

Asalkan yang namanya peperangan. Memang bukan suatu yang mudah. Walaupun kematian itu amat mengerikan. Tetapi kegagalan adalah luka yang amat menyakitkan. Takkan ada yang seorang pun yang bergembira. Walaupun redha menerima sebuah kegagalan.

Peperangan ini menuntut pengorbanan. Sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan. Bukanlah suatu yang mustahil. Kerana orang lain telah melakukannya. Bukan memberi apa yang telah dimiliki. Tetapi harus berusaha untuk memberi. Memberi sebahagian yang kita miliki bermakna kita hanya menyumbangkan. Memberi sesuatu yang melepasi garis kemampuan itulah namanya pengorbanan. Ibarat kata Ustaz Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi.

Perang ini takkan terhenti. Pasti tidak berhenti. Selagi bumi ini masih ada. Selagi nyawa masih dikandung badan. Bermula dari dilahirkan. Hinggalah satu saat amalan tidak lagi diperhitungkan. Bertahanlah. Walaupun harapan untuk menang amatlah tipis. Pastinya cerah kan datang menghilangkan kegelapan.

Ramai yang telah tersungkur. Bangun dan meneruskan langkah. Biar terkadang langkahnya mundur. Tetapi bukan berpaling dari perjuangan ini.

[+] Read More

Thursday, August 24, 2006

Susah Gak Eh..

Lom tengok depan mata. Cuma dengar cerita. Dah berkenan. Bila pandang jer, terus sangkut. Bajet-bajet boleh dapat. Terus usha. Tak tunggu sampai malam. Petang tu jugak pegi. Mula-mula timbang-timbang dengan qanaah. Timbang-timbang pulak dengan untung. Layankan untung. Tinggalkan qanaah. Dasar nafsu tak pernah puas. Selagi mampu. Semua nak disapu. Dalam kepala ada dua tiga lagi hajat yang lom kesampaian.

Bajet-bajet untung. Rupanya tidak. Silap percaturan. Bila dah dapat, tak seindah yang dibayangkan. Mula perasaan menyesal bertandang. Pening kepala. Serba serbi tak kena. Cuba untuk menenangkan perasaan. Memujuk hati. Membuai rasa. Agar boleh menerima kehadiran yang baru ini. Berbelah bagi. Yang lama nak letak mana.

Yang lama tu cantik lagi. Elok lagi. Not bad lah. Takde pun buat masalah. Masih boleh tahan. Ada orang lain berkenan kat aku punya. Masih lagi disayangi. Kenapa eh nak carik yang lain. Orang lain boleh setia pada yang satu. Tak tukar pun dengan yang baru. Biar ler yang datang tu lebih anggun. Lebih ranggi. Kenapa orang lain ok. Aku jugak tak boleh tahan. Tamak siot.

Yang lama tu dah serasi. Dah tau perangai dia. Dah tau apa yang ada dan apa yang kurang. Takyah nak pening-pening kepala. Tak macam layan yang baru. Nak kenal satu persatu. Sampai naik kekok. Yang baru ni kena jaga elok-elok. Tahap sayang tu masih tinggi. Takmau lah tercalar atau terluka. Baru dapatlah katakan.

Tapi bila dibandingkan dengan yang lama. Rupanya yang lama lebih baik. Ada kelebihan yang tak didapati pada yang baru. Cuma dia kurang cantik. Cuma dia dah tua sket. Ikutkan sangat nafsu. Sendiri tanggung ler.

Aku berkata dalam hati. Takkan ku tambah satu lagi (boleh caya ker?). Cukuplah dua yang harus ku jaga. Pastinya yang lama takkan ku sia-siakan. Sebab aku masih sayang. Dan kalau ada yang sudi pada yang baru. Aku sudi melepaskannya. Asalkan setuju dengan syaratku. Huhu.

[+] Read More

Saturday, August 12, 2006

Rempit

Dari kecik lagi dia dah belajar berlumba. Seingat aku dari umur dia 7 tahun. Sejak dia mula masuk sekolah. Memula dia tak handal. Tapi orang biasa kata... bakat itu bermula dari bangku sekolah lagi.

Allah kurniakan dia kehebatan. Selalu jadi juara. Podium pun dah bosan agaknya. Bila dia saja yang memijaknya. Tapi tak semua yang indah itu berkekalan. Orang jugak selalu kata... yang sedap tu hanya sementara. Aku akui kebenarannya.

Bila dia masuk sekolah menengah. Ayah dia hantar sekolah asrama. Kehebatan merempit dah kian pudar. Dia malas nak berlumba. Dia tak sehebat dulu. Mungkin dia banyak saingan. Tapi dia tidak pernah gagal walaupun tak jadi juara.

Masa sekolah menengah, dia pernah menang lagi. Bukan kerana dia terer. Cuma lawan yang silap percaturan. Mesin tidak dapat dikawal sepenuhnya. Dia menamatkan perlumbaan bergaya. Tetap ada rasa bangga. Aku tumpang gembira.

Ingat lagi, dia benar-benar ingin berlumba. Kerana dua perkara. Pertama. Dia ingin mengalahkan musuhnya. Kedua. Kerana cinta. Akhirnya dia berjaya. Menjulang kembali gelar juara.

Sekarangni dia tak macam dulu. Keinginan untuk berlumba seolah-olah telah tiada. Santai. Membiarkan saja mesin-mesin memecut laju. Membingitkan telinganya. Tapi darahnya tidak mendidih seperti dulu. Dibiarkan saja berlalu meninggalkannya. Apakah sebab dia tiada musuh dan cinta.

Aku ingin sekali melihat dia merempit sekali lagi. Bukan kerana ingin menjadi juara. Cukuplah kalau dia menggunakan mesin yang cukup berkuasa itu dengan maksima. Bukan dipacu dengan santai. Dibiarkan berdebu. Akhirnya tersadai.

[+] Read More

Tuesday, June 6, 2006

Mar... Mestikah Terus Setia

Telah berkali-kali setia dengan sabar. Terlalu lama. Sebelum tanah itu merdeka. Sebelum tanah itu bertukar nama. Saat itu terlalu ramai yang cuba memikat hatinya. Ada yang terbunuh dalam perlawanan mengincar kasihnya. Ada yang terkorban ketika memelihara maruahnya. Bukan hanya pemuda Melayu, bahkan Jepun dan Inggeris juga.

Namun akhirnya Mar setia pada yang satu. Lelaki itu hadir ketika yang lain telah penat berjuang. Tersungkur kerana terlalu jujur. Tidak pandai berhelah dan berdiplomasi. Tiada percaturan. Tiada perancangan. Akhirnya, pertengahan 40an, bermula episod kesetian makhluk tuhan yang ku gelar Mar...

Walaupun terpaksa menyerahkan sebahagian tanah pusakanya. Tergadai dan dijual. Tanah itu dicemari. Tanah Mar dicuri hasil bumi dan lautnya. Dinodai daratan, lautan dan udaranya. Kekayaan ditanah Mar itu dibahagikan antara tangan-tangan yang rapat dengan lelaki itu. Mar dinafikan haknya di tanahnya sendiri.

Tanah Mar dimajukan. Buat jamban, jalan, jambatan dan bangunan. Tapi Mar juga yang membayar hutang atas kemajuan itu. Apa yang dibina oleh lelaki Melayu itu bukannya percuma. Jangan harapkan istilah nafkah. Cuma yang ada hadiah di ulangtahun. Itupun 4 atau 5 tahun sekali. Mar mintalah apa nak minta sebelum tarikh itu. Akan ditunaikan. Wang akan ditabur dihadapan Mar. Selepas tarikh itu berlalu. Janji hanyalah tinggal janji. Mar terpaksa menanti lagi.

Suatu ketika, berlaku peristiwa berdarah ditanah itu. Gara-gara lelaki Melayu itu ingin bermadu. Akhirnya Mar terpaksa berkongsi apa yang dia miliki selama ini. Keistimewaan Mar sebagai anak jati tanah itu hilang kerana lelaki itu berbagi kasih. Demi menjaga kepentingan orang baru di tanah itu.

Suatu saat tulisan warisan ibunda tidak lagi diajar untuk anak-anak Mar. Sekolah agama yang telah lama dibina diruntuh satu persatu. Satu tanah hanya perlu satu tulisan dan satu bahasa kata lelaki itu. Mar akur juga dengan keputusan itu. Walaupun madunya tetap tidak petah untuk bertutur dalam bahasa tanah itu. Bahasa ibunda Mar tidak maju.

Sebut saja kebejatan di atas muka bumi ini. Murtad, arak, zina, dadah, judi, pelacur, bunuh, samseng, rasuah, pecah amanah dan banyak lagi. Carilah ia di tanah Mar itu. Semuanya ada. Mar beragama Islam. Lelaki itu juga Islam. Agama tanah itu juga Islam. Tapi mengapa semua itu perlu berlaku di tanah milik Mar sendiri.

Hingga hari ini, saat cerita ini aku ditulis. Mar masih setia pada lelaki itu. Jarang ditemui manusia sepertinya. Aku sendiri tak faham. Kenapa harus terus setia kepada orang yang tidak tahu menilai erti kesetiaan dan pengorbanan. Mar berhak membuat pilihan. Mar mempunyai hak untuk menuntut keadilan. Untuk Mar dan generasi akan datang.

Mar bukalah matamu. Marhaen... Mestikah terus setia?.

[+] Read More

Sunday, May 28, 2006

Anjing Tuan Anjing

Lepaskan anjing-anjing. Arahkan mereka. Biar mereka menggigit kambing-kambing itu. Biar mereka bertempiaran lari. Biarpun digigit di depan keluarga sendiri. Tuan anjing cukup berpuas hati. Tersenyum lebar. Kerana anjing terlatih ini seringkali menenangkan keadaan. Bagaikan perisai atas nama keamanan.

Jangan biarkan mereka membuat bising. Kerana tuan anjing hendak tidur di hari minggu. Siram mereka. Kalau tidak takut dengan air biasa. Campurkan saja bahan kimia. Biarkan mereka rasa. Tangkap mereka. Gonggong mereka. Simpan mereka dalam kandang kita. Jangan peduli apa yang mereka kata. Kerana memprotes keputusan tuan anjing dianggap derhaka.

Setiap minggu kambing buat bising. Mana tidaknya. Makanan semakin mahal. Air begitu juga. Api naik harga. Kambing kena bayar harga untuk semua itu. Bukan percuma. Kena bagi susu. Kena bagi daging. Anak kambing pun tak cukup susu. Ni tuan anjing punya kerja. Sampai ke kulit kalau ada harga, tuan anjing akan rampas.

Tapi yang hairannya. Ada kambing yang selamba. Tak kisah. Malah setuju dengan keputusan tuan anjing. Kerana tuan anjing buatkan kandang untuk mereka. Buatkan jalan untuk mereka. Buatkan jamban untuk mereka melabur. Kerana tuan anjing akan menjanjikan kemajuan buat warga kambing. Kambing ini masih mampu tersenyum. Senyum kambing.

[+] Read More

Saturday, May 27, 2006

Perginya Seorang Mujahidah

Pilu bila membaca kisah pemergiannya. Bukan kerana terlalu tragis. Tetapi pemergian seperti inilah yang sering diimpikan oleh pejuang Allah. Walau gelarnya hanyalah Puan. Terhenti noktah perjuangannya ketika berada fisabilillah.

Allahyarhamah Faridah Ismail pergi menemui Allah pada 21 May 2006/23 Rabiulakhir 1427. Hembusan nafas terakhir beliau ketika dalam perjalanan ke Muktamar Agung yang berlangsung di Gemencheh, Tampin Negeri Sembilan.

Menurut Ustaz Ali (suami), mereka berdua dari Kuala Lumpur kerana isterinya menghadiri mesyuarat DMPP. Allahyarhamah dan suami bermalam di Damansara memandangkan Ustaz Ali ada kuliah di sana. Selepas subuh, beliau bertolak balik ke NS untuk menghadiri muktamar agung dan setibanya di Dengkil, menurut Ustaz beliau telah nazak dan meningggal dunia di dalam kereta.

Meskipun beliau pernah dinasihati doktor untuk berehat tetapi beliau tetap berjuang, menghadiri mesyuarat walaupun sakit. Seperti yang dimaklumkan Ustaz, Allahyarhamah sering berkata, "kalau duduk di rumah berehat pun, tetap sakit. Baik keluar rumah menghadiri mesyuarat, kerana sakit memang akan tetap sakit. Amanah kena dilaksanakan."

Katakanlah: Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. - Ali Imran ayat 26.

Perginya seorang mujahidah, pejuang yang ikhlas dalam perjuangan. Al-Fatehah!

[+] Read More

Monday, May 22, 2006

Kelahiran Cahaya Baru


"Semoga Allah memberkati anak itu. Dan kamu bersyukur atas pemberian-Nya. Semoga anak itu membesar dengan baik. Dan engkau menikmati kebaikkannya"

Hari ini aku dapat berita kelahiran anak ketiga Angah dan Kak Nurul... Tahniah atas kelahiran cahayamata itu. Walaupun mengimpikan anak perempuan. Tapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Harapan bertambah lagi bakal mujahid fisabilillah.

Welcome to our club...

[+] Read More

Wednesday, April 19, 2006

Ketam Punya Cerita

Tidak hamba ketahui bilakah diciptanya pepatah 'Ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus'. Mungkin sebelum dicipta pepatah 'bapak borek anak rintik' agaknya.

Lebih kurang 15 tahun dulu.. diceritakan bahawa seorang raja memerintah di muka bumi ini. Namanya tidak pula dikhabarkan. Begitu juga dengan negeri kekuasaannya tidak dapat dipetakan. Mungkin cerita ini hanyalah rekaan jenaka dan teka-teki buat kanak2 di zaman itu.. Tapi hamba tak dapat nak cari keshahihan cerita ni..

Pada suatu hari.. tukang masak di dapur istana bertanya. Apakah masakan yang ingin disantap oleh tuanku tengahari ini? Belum sempat dijawab. Datanglah pula tukang kayu. Tuanku... kayu sudah siap digergaji tuanku. Belum sempat memberi perintah. Petani pula datang. Tuanku... padi semua telah masak tuanku. Lantas dijawab. Ketammmm...

Setelah beberapa tahun berlalu... ada lagi cerita pasal ketam. Kali ini mengenai perbezaan antara ketam cina dan ketam melayu. Ringkas cerita pasal beza ketam2 ni ialah ketam cina kena tutup bekasnya. Ketam melayu takyah tutup pun takpe. Sebab kalau seekor ketam melayu ni nak kuar. Ketam yang kat bawah akan tarik. Bagi jatuh. Kalau lepas keluar. Blah gitu jer. Taknak tolong member2 ketam yang lain. Kalau ketam cina nak keluar. Ketam yang lain akan bantu dia naik bekas tu dan yang di atas akan tolong yang di bawah naik.

Hamba pun taktau betul ker tidak citer ni. Tapi kalau tukar perkataan 'ketam' tu kepada 'orang'. Hamba rasa betul jugak adanya cerita itu hakikatnya. Kasihan kepada orang Melayu yang berjuang atas dasar kebangsaan. Meninggalkan Islam sebagai cara hidup mereka. Kemulian itu milik Allah.

[+] Read More

Saturday, April 1, 2006

Tipah Kata..

Berjaya Atau Gagal, Yang Manakah Satu Diri Kita?
Yang berjaya selalunya sebahagian daripada jawapan
Yang gagal selalunya adalah sebahagian daripada masalah
Yang berjaya berjaya selalunya mempunyai perancangan
Yang gagal selalunya mempunyai alasan
Yang berjaya selalu berkata " biarkan saya buat untuk anda" Yang gagal selalu berkata " ini bukan kerja saya"
Yang berjaya nampak rumput hijau di samping longgokan pasir penghalang
Yang gagal nampak longgokan pasir penghalang di rumput yang hijau
Yang berjaya berkata " agak susah tapi boleh buat"
Yang gagal berkata " boleh buat tapi susah sangat"

[+] Read More