-->

Thursday, August 31, 2006

Risalah Percuma

Risalah itu dibawa secara percuma. Tidak pernah dikenakan bayaran dari Penciptanya. Dari tangan lembut mulus seharum kasturi hinggalah ke hari ini. Ada yang berbau belacan, keju dan zabadi. Risalah ini tidak akan terhenti. Pasti ada tangan-tangan yang akan menyambut dan mengedarkannya. Sunahnya, pasti juga ada tangan-tangan yang menepis dan menghalangnya.

Dulu risalah-risalah ini ditulis dipelepah-pelepah kurma. Di atas kulit kayu dan belulang. Dari kertas kuning dan putih. Hinggalah ditulis atas pancaran cahaya. Hanya boleh ditatap mata. Risalah percuma ini penyampaiannya berbeza, isinya tetap sama.

Risalah itu walaupun percuma. Bukannya tidak berharga. Cuma tiada harga yang sepatutnya diletakkan untuk membelinya. Tidak ternilai harganya. Tiada tandingannya. Tiada yang seumpamanya. Kerana ia bukan dari usaha manusia.

Meskipun percuma. Tak ramai yang meminatinya. Tak ramai memilikinya. Tak ramai membacanya. Tak ramai cuba memahami isinya. Tak ramai yang cuba mengamalkannya. Tak ramai cuba menyampaikannya kepada orang lain.

Bersaksilah bahawa hanya Allah yang layak disembah. Nabi Muhammad pesuruh Allah. Sampaikanlah berita gembira indahnya Syurga. Sampaikanlah ancaman panas dan pedih azab Neraka. Dunia ini hanyalah sementara. Kehidupan di Akhirat kekal selamanya.

Bergembiralah penerus Risalah ini. Janji manis akan menanti. Bukan janji dari lidah manusia. Tapi dari Allah Taala. Tidak pernah sekali memungkiri janjinya. Pemilik Syurga dan Neraka.

No comments: