-->

Saturday, December 30, 2006

Iqlimiya, Korban Dan Kekasih

Iqlimiya:

Iqlimiya bukan untuk Qabil bahkan Layudza yang bakal menjadi isterinya. Tetapi Qabil tetap membantah. Akhirnya diadakan acara mempersembahkan korban. Empunya siapakah yang diterima seterusnya berhak memiliki Iqlimiya. Puteri jelita pasangan Adam dan Hawa.

Korban Habil diterima Allah. Bukan kerana doa Nabi Adam menyebelahinya tetapi Habil mempersembahkan yang terbaik dari binatang peliharaannya. Kerana dia melakukan dengan penuh ketakwaan. Dia sedang membuat urusan dengan Tuhan.

Kerana itulah juga, Qabil membunuh saudaranya Habil. Nyawa manusia terpaksa dikorbankan apabila manusia mengikut perintah hawa nafsu. Tidak lagi mengenal saudara. Nyawa seakan-akan tidak berharga.

Mengingatkan kata-kata malaikat ketika Allah memberitahu bahwa Dia akan menciptakan khalifah di muka bumi. "Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".

Korban:
Dia yang dilahirkan pada zaman pemerintahan raja Namrud ibnu Kan'an. Dia diramalkan akan menjatuhkan pemerintahan 'raja seribu tahun' itu. Ketika anak-anak lelaki dilahirkan dibunuh. Ketika itulah Nabi Ibrahim dilahirkan.

Ketika umur nabi Ibrahim mencecah 86 tahun. Baginda dikurniakan seorang putera yang baik bernama Ismail. Setelah datang perintah dari dalam mimpinya. Agar dia menyembelih anaknya sebagai korban. Nabi Ibrahim berkata : "Hai anakku aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu " Ia menjawab: "hai bapaku kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insyaallah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".

Itulah peristiwa korban yang terpaling agung dalam sejarah manusia. Sebagai hamba yang membuktikan ketaatan kepada Allah. Mengorbankan apa yang paling disayangi. Allah tidak menginginkan darah yang mengalir atau daging yang dilapah-lapah. Tapi ketakwaan dan ketaatan seorang hamba kepada Tuhannya. Nabi Ibrahim dan anaknya berjaya melepasi ujian dari Allah. Layaklah Nabi Ibrahim digelar "Khalilullah" kekasih Allah.

Kekasih:
Ada orang sanggup berkorban apa sahaja. Biasanya untuk yang paling dikasihi.. "Nasi lemak buah bidara. Sayang selasih hamba lurutkan. Buang emak buang saudara. Kerana kasih hamba turutkan". Kisah dalam pantun ni dah banyak terjadi. Mak kata jangan... tetap degil jugak. Sempadan Siam sanggup di rentasi.

Tu blom masuk lagu P. Ramlee lagi: "Berkorban apa saja. Harta atau pun nyawa. Itulah kasih mesra. Sejati dan mulia. Kepentingan sendiri. Tidak diingini. Bahagia kekasih. Saja yang diharapi".

Dahsyat bro orang dulu mengajar nak berkasih. Persoalannya... Siapakah yang paling layak untuk dijadikan kekasih dan kepada siapakah harus berkorban? Selamat Menyambut Aidil Adha.

[+] Read More

Thursday, December 28, 2006

Meraba Dalam Terang

Orang buta walaupun dalam terang terpaksa meraba-raba. Kerana mereka tidak nampak arah sebenar. Bagaikan orang yang celik tetapi berjalan dengan mata yang tertutup.Mengharapkan sentuhan tongkat si buta atau ada tangan yang sudi memimpin. Kalau tidak, takut tersandung membawa rebah.

Bagaimana pula orang yang membutakan mata dan memekakkan telinga. Walaupun dalam terang mereka tersesat jua. "When you see creations and do not see Him in it, before it or after it, then you truly in need of light".

Seorang lelaki kelihatan tercari-cari di halaman rumahnya. Lantas jiran yang telah lama memerhatikan menegur perbuatannya. Rupanya dia sedang mencari jarum yang jatuh. Jirannya bertanya dimanakah jarumnya jatuh. Lelaki itu menjawab, jarumnya jatuh di dalam rumahnya. Dalam kehairanan jirannya bertanya, kenapa dia mencari jarum itu diluar. Lelaki itu menjawab, kerana di luar terang dan di dalam gelap.

Ada orang yang sengaja buat salah. Padahal dia tau benda tu salah. Sengaja taknak ikut yang betul padahal dia tau benda tu betul. Ada ego yang hendak dipertahankan. Mungkin saja hati mereka telah dibutakan dari melihat sebuah kebenaran.
Sesungguhnya tidaklah mereka itu buta mata mereka tetapi
sebaliknya yang buta itu ialah hati mereka -surah Al-Hajj : 46

Si Majnun pernah berkata ketika dia di panggil 'wahai si gila', dia pun berkata "tunggu, si gila ialah orang membuat kesalahan sedangkan dia tahu perkara itu salah. Orang yang waras pula ialah orang yang selalu memperhatikan tentang dirinya dan takutkan Tuhannya".

Kalau orang berpenyakit, tak kisah susah mana pun akan cuba berubat. Walaupun terpaksa ada anggota yang nak kena potong pun tak kisah. Tapi kalau jiwa manusia dah sakit. Memang payah nak diubati. Apatah lagi kalau dah sayang nak buang penyakitnya itu. Silap-silap, yang cuba mengubati pulak yang dikatakan sakit.

Hidup manusia memang tidak dapat lari dari melakukan kesalahan. Kadang tersesat dan tergelincir. Namun masih terdapat jalan pulang. Masih punya Allah yang sedia menerima kembali kepulangan kita. Masih sudi mengampunkan segala dosa kita. Telah menyediakan balasan syurga. Telah lama Dia menyalakan api neraka.

Syeikh Urfi pernah berkata, ‘Para ulamak meraba-raba di dalam alam pemikiran. Hanya Iman saja merupakan jelmaan kebenaran. Orang-orang Mu’min akan mencapai kejayaan walaupun mereka lemah di segi kebendaan, jika Iman mereka teguh. Mereka yang lemah Iman akan kalah (rugi) walaupun mereka kuat di segi lahiriah dan kebendaan. Justeru itu, Iman ialah senjata yang paling kuat (ampuh) untuk menghadapi perjuangan hidup'.

[+] Read More

Tuesday, December 19, 2006

Penantian Satu Penyiksaan

Seringkali kita mendengar istilah penantian satu penyiksaan. Ia bukan sekadar kata-kata tapi pernah dilakukan penyiksaan sebegitu bagi banduan di China. Mereka di tempatkan di sebuah penjara dan terdapat bunyi air menitis. Akhirnya banduan mengalami tekanan jiwa kerana menanti titis-titis air itu.

Ketika menantikan teman datang ke rumah, kita akan rasa keletihan. Walaupun ketika itu kita sedang duduk diruang tamu sambil minum secawan teh dan menonton tv. Tapi minda kita sebenarnya tengah mengalami penyiksaan.

Oleh itu Dr. Aidh Al-Qarni menasihatkan agar mengisi masa terluang dengan pekerjaan. Dia berkata "sembelihlah masa kosong anda dengan pisau pekerjaan". Orang yang memiliki masa kosong hendaklah mengisi dengan apa jua pekerjaan. Tidak kiralah untuk siapa. Jangan sampai masa kosong itu dicuri oleh kebosanan. Atasilah masalah kebosanan dalam penantian dengan melakukan kerja-kerja. Walaupun yang simple.

Apabila terlihat kemungkaran. Alangkah baiknya dicegah dari sekadar meletakkan kebencian dalam hati. Berharap agar nantinya kemungkaran tersebut hilang. Mereka yang menanti tidak akan berganjak dari natijah yang sama.

Terdapat perbezaan orang di Malaysia dan negara-negara maju seperti Jepun. Di Jepun mereka akan membaca ketika menanti dan menaiki kenderaan awam. Tapi di negara kita jarang kedapatan sepertinya. Lebih menyedihkan kalau yang membaca pula diperli. Apalagi kalau membaca Al-Quran didalam bas. Mungkin orang yang disebelah anda akan berpindah ketempat lain.

Seorang teman pernah berkata "jadilah pemburu dan jangan jadi pemancing" kerana pemburu mengejar tetapi pemancing hanya menanti.

[+] Read More

Saturday, December 9, 2006

Lukisan Terindah

Saat warna-warna belum disatukan. Sepertinya tidak bermakna. Semua orang boleh memilikinya. Harganya pun tak seberapa. Setelah dipalitkan di atas kanvas, lapisan-lapisan warna mampu menenangkan jiwa. Membangkitkan inspirasi. Menghiasi dinding suram. Ia menjadi pujaan. Kerana ia telah bercerita tentang sebuah perasaan.

Kanvas yang menjadi latar. Tempat curahan perasaan. Menerima kehadiran warna-warna terindah. Aplikasi warna-warna bersatu. Mengungkapkan sebuah perasaan yang tak mampu diluahkan dengan kata-kata. Ungkapan tentang cinta, pengorbanan, kesetiaan, kesabaran, tawa, tangisan, gurauan, kejujuran dan ketulusan.

Itulah gerak hati sang pelukis. Kesungguhan tercurahkan untuk menghasilkan yang citra terindah dalam hidup. Narasi yang mengungkap alam pikiran. Sesuatu yang mampu diabadikan. Menjadi kenangan keindahan yang diciptakan.

Dari renungan tajam mata sang pencinta. Pesona cuba memahami seribu makna. Tapi segala-galanya hanya mampu ditafsirkan oleh akal dan perasaan. Memaksa meleburkan harta untuk memilikinya. Sampai berjuta-juta. Ada juga tak ternilai. Hanya dibenarkan untuk memandangnya.

Pada sebuah lukisan terindah. Hanya pada siapa yang mampu menilainya. Terlalu sukar untuk diterjemahkan dan difahami rahsia sebuah penciptaan. Bukan hanya ilham dan lakaran dikotak minda. Apatah lagi pada gabungan warna, kanvas, berus, pisau palet atau apa saja bentuk wahananya. Semuanya harus bergabung menjadi satu. Lukisan terindah pemberian dari yang Maha Pencipta.

[+] Read More