-->

Friday, March 30, 2007

Biarkan Luka Berdarah

Ada orang menyangka Air Mata Berembang sebuah tajuk drama melayu tempatan. Tapi bagi aku itulah episod drama yang benar-benar terjadi tetapi tidak ditayangkan di kaca tv. Ramai orang taktau dan tak ambil peduli sebab ianya takkan keluar kat tv dan ramai yang tak ambil peduli. Bukan kampung mereka yang kena.

Kalau ditayangkan, aku percaya ianya akan mampu mengalahkan program realiti yang lain. Kerana ia adalah realiti sebenar kehidupan masyarakat Melayu di kawasan bandar yang mula ternafi hak mereka. Kalau di tv sibuk mencari potensi penghibur yang baru, di Selangor khususnya tanah-tanah yang berpotensi terus dicari. Program realiti yang tidak memerlukan undian sms dari anda. Tapi sms2 lah untuk memberitahu rakyat yang lain.

Episod drama Kampung Berembang, Kampung Semarak, Kampung Rimba Jaya, Kampung Wira Damai, Kampung Banjar dan Kampung Kassipillay antara drama yang menggambarkan bagaimana impian "setinggan sifar" dilaksanakan.

Membaca cerita atau berita memang tak sama dengan menonton cerita. Ketika seorang kawan minta dicarikan video Duka dan Lara Kampung Berembang, rupanya dah banyak episod telah ke udara tetapi hanya dapat dilayan bagi siapa yang memiliki kemudahan.

Mungkin kita lebih tau tentang cerita bagaimana jentolak merobohkan rumah-rumah di Palestine. Kita akan mengutuk kezaliman Israel kerana merobohkan kediaman dan merosakkan harta orang Islam. Tapi kisah yang hampir sama berlaku kepada penduduk setinggan bandar yang menghuni rumah mereka sejak berpuluh tahun. Bezanya mereka beragama Yahudi dan di tanahair mereka melaung-laungkan Islam Hadhari.

Kalau Israel meroboh rumah orang Palestine yang telah didiami sejak berkurun lamanya kerana mereka mendakwa tanah itu adalah milik datuk moyang mereka. Mereka akan dirikan kediaman baru untuk rakyat Israel. Di Malaysia mereka dinafikan hak mereka dengan alasan mereka menghuni di tanah kerajaan. Mereka tinggal dalam khemah bagaikan pelarian.

Lacrima (baca: airmata) dan kesedihan melanda penduduk kampung setinggan membentuk luka yang amat pedih. Bagi yang hanya menonton videonya cuma turut merasakan perkara yang sama. Kerana ini bukan filem Bilut yang menggambarkan bagaimana kerajaan memberi hutan untuk rakyat. Tapi drama ini mengisahkan bagaimana kerajaan tanah bandar dari tangan rakyat.

Kekecewaan rakyat yang selama ini menyokong kerajaan selama berpuluh tahun, suatu masa dulu dia berjuang untuk kemerdekaan negara menghalau komunis. Ada yang sanggup bergadai nyawa ketika peristiwa 13 Mei 1969. Rumahnya dirobohkan hinggakan mereka merasa sebagai pendatang asing. Kalau pendatang asing berhak mendapat keistimewaan di negara ini. Sebagai rakyat negara ini, kehilangan hak mereka merupakan sesuatu kekecewaan dan kelukaan.

Apa yang diharapkan kelukaan ini tidak segera sembuh. Kalaupun mampu disembuhkan, harap-harap parutnya tidak dilupakan. Mereka telah menyedari bagaimana kerajaan datang kepada mereka ketika pilihanraya. Merayu kepada setiap orang agar memberikan undi mereka. Pandanglah kepada luka yang ada. Bijaklah ketika membuat pilihan. Apakah memang benar melayu mudah lupa.

Sifar setinggan, agenda sifarkan Melayu miskin dari bandar - wakil BN
'Padang jarak padang tekukur' di Kampung Berembang

[+] Read More

Wednesday, March 21, 2007

Dress Code Muslimah

Islam tidak menghadkan fesyen pakaian tertentu bagi wanita, tetapi menetapkan bahawa ianya hendaklah menutup seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan mengikut pendapat paling kuat di kalangan ulama'.

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). – surah Al-A'raaf : 26.

'Dress code' bagi muslimah:

1. Pakaian yang menutup seluruh tubuh kecuali yang dibenarkan oleh Al-Quran.

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

"Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; …." surah An-Nuur :31

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لأزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلابِيبِهِنَّ ذَلِك أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan2 yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. - surah Al-Ahzab : 59

Jilbab : Baju yang longgar (termasuk kerudung), yang memenuhi keperluan menutup aurat wanita, selain muka dan tapak tangan. – kamus dewan.

2. Longgar, labuh, tidak sempit dan tidak menampakkan bentuk tubuh badan.

Nabi SAW bersabda :-

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ ‏ ‏كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ ‏ ‏مُمِيلَاتٌ ‏ ‏مَائِلَاتٌ ‏ ‏رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ ‏ ‏الْبُخْتِ ‏ ‏الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

"Dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah ak lihat keduanya itu: Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); Dan perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)

3. Tudung atau yang menutup dada.

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

…dan hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka hingga menutupi dada mereka … – surah An-Nuur :31

Khimar iaitu sehelai kain yang menutupi kepala sehingga ke leher. Ini adalah makna dari segi bahasa, sementara dari segi tuntutan syari'at pula, tudung yang dipakai itu hendaklah dilabuhkan dari kepala sehinggalah ke dada atau lebih sedikit sampai menutupi kawasan kedua buah dadanya.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Jarir daripada ‘Aishah r.a.:
"Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ) (dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka), serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya."

4. Pakaian yang labuh.

حَدَّثَنَا ‏ ‏الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ الْخَلَّالُ ‏ ‏حَدَّثَنَا ‏ ‏عَبْدُ الرَّزَّاقِ ‏ ‏أَخْبَرَنَا ‏ ‏مَعْمَرٌ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏أَيُّوبَ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏نَافِعٍ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏ابْنِ عُمَرَ ‏ ‏قَالَ ‏
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏ مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ ‏ ‏ خُيَلَاءَ ‏ ‏لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَقَالَتْ ‏ ‏أُمُّ سَلَمَةَ ‏ ‏فَكَيْفَ يَصْنَعْنَ النِّسَاءُ ‏ ‏بِذُيُولِهِنَّ ‏ ‏قَالَ يُرْخِينَ شِبْرًا فَقَالَتْ إِذًا تَنْكَشِفُ أَقْدَامُهُنَّ قَالَ فَيُرْخِينَهُ ذِرَاعًا لَا يَزِدْنَ عَلَيْهِ ‏ قَالَ هَذَا ‏ ‏حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

“Barangsiapa yang memakai pakaian dengan bongkak (sombong) maka Allah tidak akan melihat kepadanya di hari kiamat” lalu Ummu Salamah pun bertanya kepada baginda : Bagaimanakah yang perlu dilakukan oleh wanita dengan hujung kain mereka? Maka dijawab oleh baginda : “ Labuhkanlah sejengkal” Ummu Salamah berkata lagi "kalau begitu akan terdedah kaki mereka" Maka dijawab oleh baginda : “ Labuhkanlah sehasta dan tidak lebih dari itu.”

5. Tidak menampakkan warna kulit dan bentuk tubuh badan.

‏ ‏عَنْ ‏ ‏عَائِشَةَ ‏ ‏رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ‏‏أَنَّ ‏ ‏أَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ ‏ ‏دَخَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏وَقَالَ يَا ‏ ‏أَسْمَاءُ ‏ ‏إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتْ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ ‏‏قَالَ ‏ ‏أَبُو دَاوُد ‏ ‏هَذَا مُرْسَلٌ ‏ ‏خَالِدُ بْنُ دُرَيْكٍ ‏ ‏لَمْ يُدْرِكْ ‏ ‏عَائِشَةَ ‏ ‏رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا

Dari Saidatina Aishah r.a "Bahawa Asma’ bint Abi Bakr datang bertemu Nabi s.a.w. dalam keadaan pakaiannya nipis sehingga nampak kulit badannya, lalu Nabi s.a.w. pun berpaling daripadanya dan bersabda: "Wahai Asma’, seorang perempuan yang telah sampai haidh (baligh) tidak boleh dilihat (hendaklah bertutup) pada badannya melainkan ini dan ini" (sambil baginda menunjukkan ke arah wajah dan kedua pergelangan tangannya)" – Riwayat Abu Daud.

دخلت نسوة من بني تميم على عائشة رضي الله عنها وعليهن ثياب رقاق فقالت عائشة: "إن كنتن مؤمنات، فليس هذا بثياب المؤمنات" وأدخلت عليها عروس عليها خمار رقيق، شفاف فقالت: "لم تؤمن بسورة النور امرأة تلبس هذا"

Telah masuk seorang wanita dari Bani Tamim kepada Aishah r.a memakai pakaian yang nipis. Maka berkata Saidatina Aishah r.a " jika kamu wanita beriman, ini bukanlah pakaian wanita beriman." Dan telah masuk kepadanya seorang pengantin memakai tudung yang nipis dan terang, Maka berkata Saidatina Aishah r.a " Tidak beriman dengan surah An-Nuur wanita yang memakai seperti ini."

6. Tidak menyerupai pakaian lelaki.

لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِالرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ وَلَا مَنْ تَشَبَّهَ بِالنِّسَاءِ مِنَّ الرِّجَالِ

Maksudnya : "Bukanlah dari golongan kami (orang beriman), sesiapa yang menyerupai lelaki dari wanita dan bukan juga sesiapa yang menyerupai wanita dari kalangan lelaki."

Pendapat Profesor Dr. Saleh Ibrahim Saleh
Profesor dan Pengerusi, Jabatan Fekh Perbandingan Universiti Al-Azhar yang lepas.

أما عن لبس البنطلون أمام الإخوة أو غير المحارم، فإنه إن كان واسعًا لا يصف ولا يشفّ وفوقه قميص يستر عورة المرأة، فإنه جائز شرعًا، ولا يكون من باب التشبه كما يعتقد البعض؛ لأنه لا يوجد نص شرعي على أن البنطلون هو خاص بالرجال، وإنما يختلف لبس الرجل باختلاف البيئات والأعراف والأماكن. والله أعلم

Adapan tentang memakai seluar di hadapan saudara lelaki atau selain mahram, jika ianya longgar, tidak menampakkan bentuk badan dan tidak nipis (transparent) dan ditutupi dengan baju yang menutupi aurat wanita maka ianya diharuskan oleh syara'. Dan ianya tidak termasuk bab menyerupai lelaki sepertimana yang disangka sebahagian pihak kerana tidak terdapat nas syar'ie yang menyatakan bahawa seluar itu dikhaskan untuk lelaki. Sesungguhnya berbeza pakaian lelaki disebabkan faktor suasana, kebiasaan dan tempat. Wallahua'lam.

[+] Read More

Saturday, March 17, 2007

Antara Dua Zaman

Aku membaca karangan Imam As-Syahid Hassan Al-Banna bertajuk 'Antara Semalam dan Hari Ini'. Bila membaca sub-topik 'Negara Islam Yang Pertama' aku mendapati perbezaan yang amat ketara jika dibandingkan Negara Islam Hadhari.

Negara Islam Pertama: Didirikan berasaskan dasar sistem Al-Quran. Ianya sebuah negara yang beriman benar-benar dengan Al-Quran, melaksanakan segala ajarannya dengan penuh rapi dan kemudiannya menyebarkannya pula ke seluruh dunia.

Negara Islam Hadhari: Diwujudkan kerana sikap orang islam sendiri yang tidak mempraktikan islam secara menyeluruh. Islam kebanyakan orang hanya sebagai agama ; Islam as religion dan bukan practical religion. Kita ingin menerajui sebagai umat Islam yang menjadi contoh, umat yang suaranya digeruni , akhlaknya disegani, ummmatan wasatan. –islamhadhari.net

Negara Islam Pertama: Khalifah Islam yang pertama, Saidina Abu Bakar r.a pernah berkata "Jika seutas tali pengikat unta hilang pun dari jagaan saya, saya akan dapatinya dalam Al-Quran".

Negara Islam Hadhari: Bila keluar berita tentang indeks rasuah negara jatuh tangga ke tujuh, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak terpengaruh dengan sebarang kaji selidik yang menggambarkan indeks rasuah di negara ini semakin tinggi. -utusan

Negara Islam Pertama: Beliau telah memerangi orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat dan menyifatkan mereka itu sebagai murtad kerana meruntuhkan salah satu rukun sistem ini. Beliau mengatakan, "demi Allah kalau mereka itu enggan menunaikan kepada ku seutas tali pengikat unta seperti yang telah ditunaikan kepada Rasulullah saw, pasti aku akan perangi mereka selagi pedang masih berada di tangan ku".

Negara Islam Hadhari: Azlina Jelani, Jamaluddin Osman, Hartina Kamarudin, Aisyah Bukhari, Hasnah, Kamariah Ali, Daud Mamat antara nama-nama orang yang mengistiharkan murtad di Malaysia.

Abdullah Md Zin kata "Umat Islam tidak perlu bimbang tentang kedudukan agama Islam kerana kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mempertahan dan memastikan segala isu berkaitan ditangani secara berkesan". -utusan

Negara Islam Pertama: Prinsip al Quran ini telah berjaya menghapus dan menghalau keluar fahaman-fahaman keberhalaan yang khurafat di Semenanjung tanah Arab dan Farsi. Yahudi penipu juga telah dihalau dan kekuasaan agama dan politik mereka dilenyapkan. Prinsip dan dasar Al-Quran ini juga telah berjuang menentang fahaman Kristian sehingga terhapus dari benua Asia dan Afrika dan terpaksa berlindung di bawah naungan kerajaan Rom timur di Konstantinopel.

Negara Islam Hadhari: Penyembah berhala, Kristianisasi, IFC, Sister In Islam, Anti Hadis, Sekular, Islam Liberal, Kapitalis, Queer Nation… nak tunggu berapa tahun yer?

Negara Islam Pertama: Bala tentera Islam telah berjaya sampai ke tengah Perancis serta utara dan selatan Itali. Ia juga telah mendirikan sebuah kerajaan yang agung di Eropah Barat yang bersinar dengan ilmu dan peradaban. Kemudian barulah Konstantinopel sempurna di buka dan Kristian diletakkan di sudut yang kecil di tengah Eropah.

Kapal laut tentera Islam belayar hebat di dua lautan iaitu lautan Mediteranean dan laut Merah yang mana kedua lautan itu menjadi tasik Islam. Tentera laut negara Islam memegang kunci laut di timur dan di barat dan seluruh kekuasaan darat dan laut berada di tangan Islam.

Negara Islam Hadhari: Kapal perang Nuklear USS Enterprise, USS Leyte Gulf, USS Nimitz, kapal induk USS Ronald Reagan.. dibenarkan untuk memasuki perairan Malaysia dan berlabuh di Pelabuhan Klang… jelas kelihatan perbezaannya.

Negara Islam Pertama: Seluruh tamadun itu telah diubahsuai dengan kehendak-kehendak Islam dengan mengekalkan keindahan dan kehebatannya. Islam tidak menegah dari mengambil faedah tamadun itu selagi ianya tidak mengganggu kesatuan politik dan masyarakat ummat Islam.

Negara Islam Hadhari: Menghalalkan judi dan tempat perjudian dengan syarat mendapat lesen dari kerajaan. Judi hanya haram kalau dikendalikan tanpa lesen. Membenarkan pembinaan kilang arak dan membiarkan jualannya tanpa sekatan. Menolak hukum hudud terutama bagi kesalahan mencuri dan berzina. Membenar dan memberi laluan yang luas kepada pengusaha tempat-tempat hiburan. Mendukung dasar amalan riba… kemana perginya prinsip-prinsip Islam Hadhari?.

[+] Read More

Tuesday, March 6, 2007

Cinta Sebelum Kahwin

Bila ditanya tentang hukum bercinta, dan aku bertanyakanlah kembali dimanakah cinta? Tanyakanlah dimanakah cinta suci yang indah itu di zaman ini. Aku tidak mengatakan cinta itu telah lenyap tetapi ianya telah berlalu - Dr Isra' Abdul Mon'iem.

Cinta adalah fitrah manusia. Allah telah menetapkan jalan yang terbaik mengikut syara' untuk memenuhi naluri fitrah ini. Islam tidak pula melarang seseorang untuk dicintai dan menyintai, bahkan Rasulullan menganjurkan agar cinta tersebut dilafazkan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Apabila seseorang menyintai saudaranya maka hendaklah ia memberitahu bahwa ia menyintainya” Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi.

Telah menjadi fitrah seorang lelaki mempunyai perasaan terhadap wanita, dan begitulah sebaliknya. Firman Allah Taala yang bermaksud “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang Yang berfikir.” Surah Ar-Ruum ayat 21.

Cinta sebelum kahwin tidak dapat lari dari dua perkara:

Pertama:
Seseorang itu tidak berusaha meneruskan cintanya. Contohnya seorang lelaki melihat seorang perempuan, lalu jatuh cinta. Sebagai seorang yang bertakwa dia tidaklah melanjutkan perbuatannya kepada sesuatu yang diharamkan seperti terus memerhatikan, atau mengutus surat ataupun membuat temujanji. Tetapi dia berusaha kepada perhubungan yang diredhai dengan melaksanakan pernikahan. Ketika itu dia telah melakukan kebaikan atas kesabarannya dan ketakwaannya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud "Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling menyintai kecuali nikah". riwayat Ibnu Majah

Dari Anas ra, dari Nabi saw, beliau bersabda:
“Ada tiga hal dimana orang yang memilikinya akan merasakan manisnya iman, iaitu menyintai Allah dan rasul-Nya melebihi segala-galanya, menyintai seseorang hanya karena Allah, dan enggan untuk menjadi kafir setelah diselamatkan Allah daripadanya sebagaimana enggannya kalau dicampakkan ke dalam api.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Kedua:
Cinta itu hadir dengan usaha dan pilihan manusia. Seperti sering mengurat wanita, dan sering bercakap dan berutusan atau sebagainya dari perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Tidak ada keraguan bahawa cinta seperti ini dilarang oleh Islam. Walaupun dengan niat melengkapi cinta ini dengan perkahwinan.

Kata-kata manis dan indah, rindu-rinduan, berdua-duaan, berhias-hiasan akan membawa kepada perkara yang diharamkan Allah. Walau niat asalnya baik atau tujuan akhirnya perkahwinan. Kerana selagimana bermulanya dengan perlakuan yang terlarang tidak akan sempurna kesudahannya. Realiti telah membuktikan. Siapa yang ingin mendapat bimbingan dari Allah dalam perkahwinan mereka, tidak akan membina di atas perkara yang diharamkan dan mendatangkan kemurkaan dari Allah.

Antara perilaku sumbang pasangan bercinta:

1. Memandang kepada bukan mahram
Firman Allah di dalam surah an-Nur, ayat 30, mafhumnya: "Katakanlah pada lelaki yang beriman: hendaklah mereka menjaga pandangan dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka… ".

2. Berjumpa dan berjalan berdua-duaan
Seorang perempuan tidak dibenarkan bermusafir sendirian, dan bertemu lelaki ajnabi sendirian, seperti sabda Nabi s.a.w: " Tidak bermusafir seorang perempuan kecuali ada bersamanya mahramnya, dan tidak boleh seseorang masuk menemuinya kecuali ada mahramnya."- hadis riwayat Imam Bukhari.

3. Berpegangan tangan
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "sekiranya seseorang itu mencucuk kepalanya dengan jarum besi, itu adalah lebih baik baginya dari menyentuh perempuan yang tidak halal baginya"- riwayat Tabrani dengan sanad yang soheh.

4. Berdua-duaan, dating atau khalwah ajnabiyah
Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: "Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan wanita, sesungguhnya yang ketiga di antara mereka berdua adalah syaitan"-Riwayat Imam Ahmad.

“Ya Allah, kurniakanlah kepada kami cinta terhadap-Mu dan cinta kepada mereka yang mencintai-Mu, dan apa saja yang mendekatkan kami kepada cinta-Mu, dan jadikanlah cinta-Mu itu lebih berharga bagi kami daripada air yang sejuk bagi orang yang dahaga.”

Cinta adalah fitrah manusia?

[+] Read More

Sunday, March 4, 2007

Walimatul Urus

Walimah berasal daripada perkataan al-Walmu, bermaksud perjumpaan. Dinamakan walimah kerana kedua-kedua pengantin bertemu di sini.

Maksud walimah ialah makanan kenduri kahwin atau semua makanan yang dibuat untuk memanggil orang atau selainnya.

Hukum Walimah:
Jumhur ulama berpendapat bahwa hukum walimah adalah sunnah, berdasarkan perintah Nabi SAW kepada Abdul Rahman bin Auf :

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أولم ولو بشاة - رواه البخارى

"Buatlah walimah, walaupun hanya dengan seekor kambing".

Kadar Walimah :
Kadar minima bagi orang kaya ialah seekor kambing dan tidak ada kadar maksima dalam mengadakan walimah. Bagi orang miskin kadarnya ialah makanan yang dia mampu.

Hikmah Di Syariatkan Walimah:
Untuk menunjukkan rasa syukur kepada Allah kerana berjaya mengadakan perkahwinan tersebut. Mengeratkan hubungan kasih-sayang dan persaudaraan. Walimah juga diadakan untuk memberitahu kepada orang ramai berita yang dulunya rahsia.

Hukum Menghadiri Undangan :
Menghadiri majlis walimah menjadi fardu ain kepada mereka yang dijemput. Sabda Rasulullah yang bermaksud "Apabila dijemput ke majlis walimah hendaklah kamu hadir". Riwayat Bukhari.

Walimah Yang Wajib Di Hadiri:

i- Jemputan tidak dikhususkan untuk golongan kaya sahaja.

عن أبي هريرة قال: شرالطعام طعام الوليمة يدعى لها الأغنياء ويترك الفقراء، ومن ترك الدعوة فقد عصى الله ورسوله ،
رواه البخارى ومسلم

Sabda Rasulullah yang bermaksud "Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah pernikahan di mana yang diundang hanyalah orang-orang kaya sahaja sementara orang fakir miskin tidak diundang.Barang siapa yang tidak mengundang fakir miskin ketika walimah pernikahan, maka sungguh ia telah berbuat dosa kepada Allah dan RasulNya" Riwayat Bukhari & Muslim.

ii- Orang yang menjemput ialah orang Islam begitu juga orang yang dijemput.

iii- Menghadiri jemputan pada hari pertama, jika walimahnya diadakan lebih daripada sehari. Sunat untuk menghadiri jika dijemput pada hari kedua. Makruh menghadiri jemputan pada hari ketiga.

Sabda Rasulullah yang bermaksud " Walimah pada hari pertama adalah hak. Pada hari kedua pula adalah baik`. Pada hari ketiga adalah berbangga-bangga dan riya".

iv- Jemputan dilakukan untuk menambahkan kasih sayang dan mengeratkan hubungan.

v- Empunya walimah bukan orang yang zalim, jahat atau memiliki harta haram.

vi- Walimah itu tidak terdapat perkara-perkara yang mungkar seperti arak, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan sebagainya. Sabda Rasulullah yang bermaksud "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dia jangan duduk sama sekali dihidangan yang ada arak".

Memakan Makanan Walimah:

Tidak wajib memakan makanan walimah itu. Yang wajib hanyalah hadir. Sabda Rasulullah yang bermaksud "Jika dijemput untuk menikmati makanan, kamu hendaklah pergi. Jika kamu ingin, makanlah makanan tersebut dan jika tidak, kamu boleh meninggalkannya". Riwayat Muslim.

Ada ulama mengatakan wajib makan kecuali jika dia berpuasa.

Sabda Rasulullah yang bermaksud " Apabila dijemput, kamu hendaklah menghadiri jemputan itu. Dan jika tidak berpuasa,kamu hendaklah makan, Dan jika berpuasa, kamu hendaklah berdoa untuk tuan punya walimah".

Berbuka puasa (puasa sunat) lebih afdal jika dipaksa atau diminta oleh empunya walimah. Jika tidak, meneruskan berpuasa lebih afdal. Jika puasa yang wajib seperti nazar hendaklah diteruskan.

Dilarang membawa pulang makanan jika tidak dibenarkan. Dan diharamkan membawa orang yang tidak dijemput.

Wallahua'lam.

[+] Read More

Thursday, March 1, 2007

Mereka Telah Bersabar

Sepasang suami isteri, setelah tujuh belas tahun berkahwin barulah mendapat cahaya mata. Malangnya ketika anak mereka berumur dua tahun setengah, anak itu ditimpa berbagai penyakit kronik. Pendarahan di saluran pernafasan, mati otaknya, buah pinggang gagal berfungsi dan bengkak di sekeliling hati. Ketika doktor memberitahu penyakit anaknya tidak ada harapan sembuh... Si ibu menjawab "Alhamdulillah, semoga Allah menyembuhkan penyakitnya kalaulah sihat adalah terbaik buatnya.

"Sesungguhnya besar ganjaran adalah dengan besarnya ujian. Sesungguhnya Allah jika Dia mengasihi sesuatu kaum, nescaya mereka akan diuji dengan ujian. Barangsiapa yang redha maka baginya keredhaan Allah. Barangsiapa yang tidak bersabar, nescaya Allah juga tidak akan bersabar dengan mereka!" riwayat At-Tirmizi & Ibn Majah

Seorang hamba Allah memiliki tujuh orang anak. Dia amat sayang salah seorang daripada anak-anaknya. Ketika diberitakan kematian anak yang disayanginya, dia berkata "Segala puji bagi Allah, kepada-Nya jua kita dikembalikan. Aku memiliki tujuh orang anak dan yang diambil cuma satu. Aku akan diuji selama aku sihat. Aku berharap dapat dipertemukan di dalam syurga.

Allah juga memberikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Firmannya: "Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. Iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah mereka berkata 'Sesungguhnya kita ini adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kita kembali'. Mereka itulah yang (Allah berikan) kurniaan (dan pengampunan) serta rahmat ke atas mereka, dan mereka itulah orang-orang yang beroleh petunjuk." Al-Baqarah 155-157

Seorang hamba Allah yang memiliki seorang anak kecil dan seekor unta. Suatu hari untanya lari dan dia cuba mengejar. Tapi tak berjaya. Dia kembali kepada anaknya, didapati anaknya telah dibaham serigala. Dia cuba menyelamatkannya tapi gagal. Kemudian dia kembali mengejar untanya. Malangnya matanya pula di tendang oleh untanya sehingga buta.

Ketika ditanya apakah yang engkau katakan selepas itu?. Hamba Allah itu berkata " Alhamdulillah, kerana aku masih memiliki sebuah hati yang tenang dan lidah yang sentiasa mengingati Allah.

Kerana sifat sabar, Allah SWT menjadikan segala urusan orang-orang yang beriman itu baik. Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya." riwayat Muslim

+

[+] Read More