-->

Saturday, November 25, 2006

Dari Sudut Berbeza

Siapa tahu, lemon yang masam boleh menjadi jus yang enak dan menyegarkan. Itulah yang penting dalam kehidupan manusia. Mengubah dari suatu yang kurang baik kepada yang lebih baik. Tidaklah penting hidup ini sentiasa memperolehi keberuntungan. Tapi yang paling penting ialah mengubah dari kerugian kepada keberuntungan.

As-Syahid Hassan Al-Banna pernah pergi ke sebuah kampung yang bertelingkah hingga membawa pertumpahan darah hanya kerana perselisihan bilangan rakaat solat tarawikh. Sebahagian inginkan solat 20 rakaat dan sebahagian inginkan 8 rakaat.

As-Syahid mengarahkan agar masjid ditutup setelah solat isya' dan tidak diadakan solat terawikh di masjid. Siapa yang inginkan solat tarawikh bolehlah melakukan di rumah berapa rakaat yang mereka kehendaki. Solat tarawikh hukumnya sunat. Sedangkan menjaga perdamaian suatu kewajipan. Jangan yang sunat dijaga hingga yang wajib terabai. Mengubah dari kerugian kepada keuntungan.

Ada sebahagian manusia sangat ghairah untuk mengubah kehidupan manusia lainnya yang dianggap bermasalah kepada yang baik-baik. Tetapi masalahnya ialah kenapa seringkali terlupa untuk mengubah diri sendiri. Seharusnya diri sendiri diubah kepada yang terbaik sebelum mengubah kehidupan orang lain. Supaya tidak seperti meludah ke langit.

Seringkali dipertemukan dengan manusia yang menyakitkan hati. Membuat kita merasa tidak puas hati. Mendatangkan kemarahan dan rasa bosan. Dari sudut lainnya, janganlah kita menyakitkan hati orang lain dengan melakukan perkara yang sama. Kalau kita tidak sukakan suatu perkara, pastinya orang lain mempunyai rasa yang sama.

Musuh yang bijak lebih baik dari kawan yang sengal. Rasa malu bila keburukkan kita diceritakan, maka kita memperbaikinya. Menjadikan kita manusia yang sentiasa berhati-hati. Itu terlebih baik dari kita sentiasa dibuai dengan pujian tetapi membinasakan.

Allah telah bersabda yang bermaksud "dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." surah Al-Baqarah ayat 216.

Dari sudut berbeza, kita bertemu kepahitan dalam masa yang sama kita mengenal dan menghargai kemanisan.

[+] Read More

Saturday, November 4, 2006

Jad Dan Pakcik Ibrahim

Di suatu tempat di Perancis lebih kurang 50 tahun yang lampau, tinggal seorang pakcik tua berketurunan Turki yang berumur 50 tahun bernama Ibrahim. Dia berniaga barangan runcit di sebuah kawasan perumahan yang terdapat sebuah keluarga Yahudi. Keluarga ini memiliki seorang anak bernama Jad. Berumur 7 tahun.

Kebiasaan Jad akan datang ke kedai Pakcik Ibrahim untuk membeli keperluan rumah. Setiap kali dia hendak keluar dia akan mencuri coklat. Suatu hari Jad terlupa mencuri coklat ketika dia hendak keluar. Lalu Pakcik Ibrahim memanggil Jad dan memberitahu bahawa dia lupa untuk mengambil coklat hari ini. Pakcik Ibrahim tidak memarahi Jad, dan meminta Jad tidak mencuri selepas ini kerana Pakcik Ibrahim akan memberikan coklat secara percuma. Jad merasa gembira.

Masa berlalu, hubungan Jad bertambah akrab. Pakcik Ibrahim seperti seorang bapa, kawan dan ibu bagi Jad. Pakcik Ibrahim adalah orang yang akan dicarinya ketika ditimpa masalah. Pakcik Ibrahim akan mengeluarkan sebuah kitab dari laci dan memberi kepada Jad dan meminta dia membuka mana-mana mukasurat dari kitab itu. Pakcik Ibrahim akan membaca dua mukasurat yang dibuka oleh Jad. Kemudian menutup kembali. Kemudian Pakcik Ibrahim akan menyelesaikan masalah Jad.

17 tahun berlalu, begitulah hubungan antara seorang tua bernama Pakcik Ibrahim yang tidak berpendidikan tinggi dan Jad seorang pemuda Yahudi. Jad telah berusia 24 tahun manakala Pakcik Ibrahim berumur 67 tahun.

Pakcik Ibrahim meninggal dunia ketika berusia 67 tahun. Dia telah meninggalkan untuk Jad sebuah kotak yang di dalamnya kitab yang sering dibacanya ketika Jad menghadapi masalah. Pakcik Ibrahim meminta anaknya memberikan kotak itu setelah kematiannya.

Jad amat merasa sedih dengan kematian Pakcik Ibrahim. Perginya seorang yang baik hati, pemurah dan penyelesai masalah baginya.

Hari terus berlalu...

Suatu hari dia ditimpa masalah. Jad teringatkan Pakcik Ibrahim dan kotak yang dihadiahkan untuknya. Jad mencari kotak itu dan membukanya. Jad mendapati di dalamnya adalah kitab yang sering dibukanya. Tetapi dia tidak tahu membacanya. Kerana kitab itu ditulis dalam bahasa Arab. Jad pergi bertemu kawannya berbangsa Tunisia. Lantas meminta kawannya membaca dua mukasurat yang telah dibukanya. Jad pun menceritakan masalah kepada kawannya. Masalahnya menemui jalan penyelesaian. Jad bertanya apakah nama kitab itu. Kawannya menjawab ia adalah Al-Quran Al-Karim. Kitab suci orang Islam. Jad bertanya bagaimana dia boleh menjadi seorang Muslim. Kawannya menjawab bahawa Jad haruslah mengucap dua kalimah syahadah dan mengikuti syariah. Jad pun melafazkan Syahadah.

Setelah memeluk Islam. Jad memilih namanya sebagai 'Jadallah Al-Qurani' kerana mengagungkan nama kitab suci Al-Quran dan berazam untuk menyebarkannya. Jad mempelajari Al-Quran, memahaminya dan Jad menyeru masyarakat Eropah ketika itu hingga 6000 orang Yahudi dan Kristian memeluk Islam ditangannya.

Suatu hari, ketika Jad membuka Al-Quran yang dihadiahkan oleh Pakcik Ibrahim kepadanya. Jad mendapati dipermulaan Al-Quran itu terdapat peta benua Afrika. Di bawah peta itu Pakcik Ibrahim telah menulis ayat “أدع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة . Jad menyedari bahawa itu adalah wasiat Pakcik Ibrahim untuk dilaksanakan. Jad meninggalkan Eropah dan berdakwah di Kenya, selatan Sudan, Uganda dan negara-negara yang berhampiran. Jad berjaya mengislamkan lebih dari 6 juta orang termasuk kaum Zulu.

Bagaimana Jad boleh memeluk agama Islam?
Jadallah Al-Qurani memberitahu bahawa Pakcik Ibrahim tidak memanggilnya 'Si Kafir' atau 'Si Yahudi' dan tidak pernah mengajaknya memeluk Islam selama 17 tahun persahabatan mereka. Ketika ditanya tentang perasaanya mengislamkan jutaan umat manusia. Dia menjawab bahawa dia tidak merasa mulia atau bangga melainkan dia menujukan tentang keistimewaan Pakcik Ibrahim.

Jadallah Al-Qurani menghabiskan 30 tahun dari umurnya untuk berdakwah di Afrika. Dia meninggal dunia pada tahun 2003 disebabkan sakit yang menimpanya di Afrika ketika berusia 54 tahun. Ibunya memeluk Islam pada tahun 2005 pada usia 70 tahun. Ibunya berusaha mengembalikan kepada agama Yahudi tetapi gagal untuk menyakinkan Jadallah Al-Qurani tentang kebenaran agama Yahudi sepertimana Pakcik Ibrahim menyakinkannya tentang Islam.

Artikel asal : جاد الله القرآني .. هل تعرفه ؟

[+] Read More

Thursday, November 2, 2006

Mengejar Bayang-Bayang

Seorang murabbi berpesan. Dia kata jangan lupa dengan kata-katanya... Dunia ibarat bayang-bayang. Jangan diletakkan dihadapan kita. Jangan di kejar. Kerana kita takkan mampu. Kita takkan berpuashati. Letakkan dunia ini dibelakang kita. Biarlah kita meninggalkan bayang-bayang. Kemana kita pergi. Dia akan mengejar kita.

Ada orang cakap... letakkan dunia itu hanya ditangan. Jangan dihati. Kalau letak dihati, sayang nak lepaskan. Kalau letak ditangan. Mungkin terlepas. Tapi apa nak dirisaukan. Masih ada peluang mengutip kembali.

Rasulullah pernah menyifatkan dunia bagaikan bangkai anak kambing yang cacat di tepi jalan. Tidak berharga. Tidak diingini walau diberi percuma. Sabda Rasulullah, "Demi Allah, sesungguhnya dunia lebih hina disisi Allah dari pada anggapanmu terhadap bangkai ini".

Aku senang menukilkan kata-kata dari sebuah blog yang aku temui;

"mungkin hari ini dan hari-hari lalu begitu amat dekatnya dengan kehidupan kita. Bau busuknya terasa begitu amat harum menurut penciuman kita. Tidak hairan seringkali kita berdekatan dengan bangkai-bangkai tersebut bahkan mungkin kita menganggapnya sebagai hidangan yang lazat untuk kita santap.

Sesuatu yang mati memang harus segera kita kubur agar tidak menjadi bangkai yang mengeluarkan aroma yang tidak sedap yang nantinya akan menyebarkan penyakit, walaupun yang mati adalah sesuatu yang menjadi kesayangan kita.

Kita berharap semoga kita tidak menjadi anjing-anjing yang menyeret bangkai kesana kemari, dan kita berharap semoga kita menjadi seorang musafir dalam kehidupan ini, yang dengan bekal secukupnya mampu menjelajah dunia, merenunginya, dan menjadikan kita mampu memahami arti kehidupan ini. Amin!"

[+] Read More

Tuesday, October 24, 2006

Si Pemalas Dan Kemalasannya

Hari-hari bagi Si Pemalas dan kemalasannya adalah sama. Tiada perbezaan Walaupun yang namanya hari itu sentiasa beredar. Sentiasa bertukar. Mendekatkan lagi kepada garis penamat. Mendekatkan kepada kematian. Si Pemalas sentiasa menyedari. Kemalasannya menyebabkan segalanya tidak akan berubah.

Ketika Ramadhan datang, Si Pemalas merasa gembira. Kerana dia merasakan bulan ini adalah peluang untuk dia mengautkan keuntungan dalam beribadah. Ketika orang baru nak meneropong anak bulan. Dia sudah siap merencana ibadah yang bakal dilakukan. Sekurang-kurangnya dia akan membaca Al-Quran satu juzu' setiap hari. Mashaf baru size poket dibeli.

Apakan daya, Si Pemalas bukanlah orang yang boleh berubah sekelip masa. Kemalasannya telah lama bersarang dalam dirinya. Dia bukan orang yang melazimi membaca Al-Quran sebelum ini. Maka cita-citanya gagal dihari pertama Ramadhan. Tak sampai sejuzu' pun dia baca Kitab Suci itu.

Dia kembali bertekad. Esok akan lebih dari sejuzu'. Sebab nak cover balik apa yang ketinggalan. Rupanya segalanya berlalu tanpa ada perubahan. Dia tetap melayani kemalasannya. Hinggalah sepuluh hari telah berlalu. Cita-citanya tersasar tanpa usaha. Setakat panas-panas apam balik.

Si Pemalas sedar dengan sifatnya. Dia menanam azam lagi. Ramadhan berbaki 20 hari lagi. Masih belum terlambat. Sekurang-kurangnya perlu satu setengah juzu' sehari membaca Al-Quran. Dalam keadaan syaitan dibelenggu. Si Pemalas cuba juga untuk membaca. Tapi dia keletihan. Sebab tak biasa. Al-Quran hanya dibaca dalam solatnya sahaja. Sekadar Al-Fatehah dan beberapa surah lazim yang telah berabad dihafalnya.

Ketika Ramadhan berbaki 10 hari. Dia membayangkan kalau-kalau dia boleh membaca 3 juzu' sehari. Bermakna dia akan berjaya juga mengkhatamkan Al-QUran dalam bulan yang mulia ini. Tapi kemalasannya awal-awal lagik membantah. Menafikan. Mana mungkin. Tidak bisa. Dia melayani hasutan.

Akhirnya, Ramadhan telah berlalu. Apa yang ada hanyalah sebuah penyesalan. Mashafnya seperti semalam baru dibeli. Tinggal hanya sebuah cita-cita yang murni. Hadir pulak sebuah harapan yang baru. Menanti-nanti Ramadhan datang lagi.

Tapi apakah peluang itu akan datang. Menempuhi sebelas purnama untuk bertemu kembali. Kalaulah ditakdirkan bertemu lagi. Apakah dengan persediaan masih sama. Setapak melangkah adalah permulaan bagi perjalanan yang panjang. Tapi kalau hanya duduk diam. Ia adalah sebuah lamunan dalam angan-angan yang tiada berkesudahan.

[+] Read More

Saturday, October 21, 2006

Ketika Kita Hidup

Ketika kita hidup, kita cari dia. Bagaikan hidup seribu tahun. Kita simpan dia. Kita sayang kat dia. Hantar kat bank suruh jagakan. Hantar kat pajak gadai tolong simpankan. Tapi lepas kita meninggal. Dia pun tak ikut kita. Tinggal yang nama kain kafan jer. Gigi emas pun kena cabut. Pegi kubur pun dia tak temankan. Lepas kita mati, bakal jadik rebutan. Tu harta namanya.


Ketika kita hidup memang dah ada. Darah daging kita. Takpun kita kena cari. Hidup ni mana boleh sorang-sorang. Kena berteman. Nanti kita meninggal, diorang pegi kubur mengiring jenazah. Takpun dah menangis kat umah. Kalau masuk sampai kat dalam pun, kompom kuar balik. Silap-silap, Si penggali kubur jer yang sambut. Biarpun masa hidup pernah berjanji sehidup semati. Takkan berpisah selamanyalah. Tapi dalam kubur duduk ler sorang-sorang. Untung-untung bertemu lagik di akhirat. Lagi power kalau ada orang cakap "ku tunggu dirimu di pintu syurga". Tu ahli keluarga dan sahabat handai.

Ketika kita hidup, kita kena kerjakan dia. Tak dapat kalau kita tak buat. Apa jer yang kita kerjakan dah dikira. Kadang ditambah. Kadang dikurangkan. Kadang kena bagi kat orang. Nanti kita mati. Dia akan temankan kita. Samada yang baik ataupun yang jahat. Akan ikut kita menuju akhirat. Itu amalan kita. Samada dia akan menjadi cahaya. Ataupun menambah kegelapan. Bergantung kepada hidup kita di dunia.

[+] Read More

Tuesday, October 17, 2006

Cermin Diri

Berpakaian indah. Pastu 'touch up' sket. Pakai minyak wangi sesembur dua. Tengok kat cermin dalam lima enam kali. Senyum sorang-sorang. Dalam hati cakap. Boleh tahan gak aku nih. Apa yang dirasakan tu hanya terhad pada empunya diri. Keindahan diri adalah hiasan peribadi.

Berapa ramai yang menghiasi peribadi tetapi bukan hanya untuk diri sendiri. Tapi untuk orang lain menikmati kebaikkan diri mereka. Bagaikan Rasulullah. Diutuskan untuk memberi kerahmatan ke seluruh alam. Kerana manusia yang baik itu akan memberikan kemanfaatan kepada orang lain. Tidak akan menyakiti orang lain.

Perlu direnungi, bahawa Islam dibawa oleh Rasulullah bukan dengan kecanggihan teknologi, kekuatan angkatan perang, persenjataan tangguh, dan kepakaran orang-orang terdekatnya. Agama baru yang diperkenalkan Rasulullah berhasil dianut berjuta orang hingga hari ini, karena Nabi mengerti bagaimana cara memperkenalkannya dan mampu meluluhkan hati yang membatu.

Luqmanulhakim pernah berkata, "Barangsiapa yang melihat aibnya sendiri, maka dia akan meninggalkan kerja mencari keaiban orang lain. Barangsiapa yang rela dengan rezeki yang dianugerahkan oleh Allah, maka dia tidak akan bersedih jika orang lain mendapat kelebihan rezeki, barangsiapa yang menghunus pedang untuk menganiaya orang lain, tangannya akan terpotong oleh pedang itu sendiri, barangsiapa yang menggali lobang untuk saudaranya, dia sendiri akan terjerumus ke dalam lobang itu, barangsiapa yang membuka aib orang lain, aibnya sendiri juga akan tersingkap, barangsiapa yang lupa akan kesalahan diri sendiri, dia akan selalu menganggap besar kesalahan orang lain".

Kita sering menginginkan orang berlaku baik terhadap kita. Tapi adakah kita layak untuk diperlakukan seperti itu. Akhlak yang terpuji bukan untuk mendapat pujian dari manusia. Nanti jadik riya'. Kerana segala pujian hanyalah bagi Allah.

[+] Read More