-->

Tuesday, October 24, 2006

Si Pemalas Dan Kemalasannya

Hari-hari bagi Si Pemalas dan kemalasannya adalah sama. Tiada perbezaan Walaupun yang namanya hari itu sentiasa beredar. Sentiasa bertukar. Mendekatkan lagi kepada garis penamat. Mendekatkan kepada kematian. Si Pemalas sentiasa menyedari. Kemalasannya menyebabkan segalanya tidak akan berubah.

Ketika Ramadhan datang, Si Pemalas merasa gembira. Kerana dia merasakan bulan ini adalah peluang untuk dia mengautkan keuntungan dalam beribadah. Ketika orang baru nak meneropong anak bulan. Dia sudah siap merencana ibadah yang bakal dilakukan. Sekurang-kurangnya dia akan membaca Al-Quran satu juzu' setiap hari. Mashaf baru size poket dibeli.

Apakan daya, Si Pemalas bukanlah orang yang boleh berubah sekelip masa. Kemalasannya telah lama bersarang dalam dirinya. Dia bukan orang yang melazimi membaca Al-Quran sebelum ini. Maka cita-citanya gagal dihari pertama Ramadhan. Tak sampai sejuzu' pun dia baca Kitab Suci itu.

Dia kembali bertekad. Esok akan lebih dari sejuzu'. Sebab nak cover balik apa yang ketinggalan. Rupanya segalanya berlalu tanpa ada perubahan. Dia tetap melayani kemalasannya. Hinggalah sepuluh hari telah berlalu. Cita-citanya tersasar tanpa usaha. Setakat panas-panas apam balik.

Si Pemalas sedar dengan sifatnya. Dia menanam azam lagi. Ramadhan berbaki 20 hari lagi. Masih belum terlambat. Sekurang-kurangnya perlu satu setengah juzu' sehari membaca Al-Quran. Dalam keadaan syaitan dibelenggu. Si Pemalas cuba juga untuk membaca. Tapi dia keletihan. Sebab tak biasa. Al-Quran hanya dibaca dalam solatnya sahaja. Sekadar Al-Fatehah dan beberapa surah lazim yang telah berabad dihafalnya.

Ketika Ramadhan berbaki 10 hari. Dia membayangkan kalau-kalau dia boleh membaca 3 juzu' sehari. Bermakna dia akan berjaya juga mengkhatamkan Al-QUran dalam bulan yang mulia ini. Tapi kemalasannya awal-awal lagik membantah. Menafikan. Mana mungkin. Tidak bisa. Dia melayani hasutan.

Akhirnya, Ramadhan telah berlalu. Apa yang ada hanyalah sebuah penyesalan. Mashafnya seperti semalam baru dibeli. Tinggal hanya sebuah cita-cita yang murni. Hadir pulak sebuah harapan yang baru. Menanti-nanti Ramadhan datang lagi.

Tapi apakah peluang itu akan datang. Menempuhi sebelas purnama untuk bertemu kembali. Kalaulah ditakdirkan bertemu lagi. Apakah dengan persediaan masih sama. Setapak melangkah adalah permulaan bagi perjalanan yang panjang. Tapi kalau hanya duduk diam. Ia adalah sebuah lamunan dalam angan-angan yang tiada berkesudahan.

No comments: