-->

Saturday, August 12, 2006

Rempit

Dari kecik lagi dia dah belajar berlumba. Seingat aku dari umur dia 7 tahun. Sejak dia mula masuk sekolah. Memula dia tak handal. Tapi orang biasa kata... bakat itu bermula dari bangku sekolah lagi.

Allah kurniakan dia kehebatan. Selalu jadi juara. Podium pun dah bosan agaknya. Bila dia saja yang memijaknya. Tapi tak semua yang indah itu berkekalan. Orang jugak selalu kata... yang sedap tu hanya sementara. Aku akui kebenarannya.

Bila dia masuk sekolah menengah. Ayah dia hantar sekolah asrama. Kehebatan merempit dah kian pudar. Dia malas nak berlumba. Dia tak sehebat dulu. Mungkin dia banyak saingan. Tapi dia tidak pernah gagal walaupun tak jadi juara.

Masa sekolah menengah, dia pernah menang lagi. Bukan kerana dia terer. Cuma lawan yang silap percaturan. Mesin tidak dapat dikawal sepenuhnya. Dia menamatkan perlumbaan bergaya. Tetap ada rasa bangga. Aku tumpang gembira.

Ingat lagi, dia benar-benar ingin berlumba. Kerana dua perkara. Pertama. Dia ingin mengalahkan musuhnya. Kedua. Kerana cinta. Akhirnya dia berjaya. Menjulang kembali gelar juara.

Sekarangni dia tak macam dulu. Keinginan untuk berlumba seolah-olah telah tiada. Santai. Membiarkan saja mesin-mesin memecut laju. Membingitkan telinganya. Tapi darahnya tidak mendidih seperti dulu. Dibiarkan saja berlalu meninggalkannya. Apakah sebab dia tiada musuh dan cinta.

Aku ingin sekali melihat dia merempit sekali lagi. Bukan kerana ingin menjadi juara. Cukuplah kalau dia menggunakan mesin yang cukup berkuasa itu dengan maksima. Bukan dipacu dengan santai. Dibiarkan berdebu. Akhirnya tersadai.

No comments: