-->

Tuesday, June 6, 2006

Mar... Mestikah Terus Setia

Telah berkali-kali setia dengan sabar. Terlalu lama. Sebelum tanah itu merdeka. Sebelum tanah itu bertukar nama. Saat itu terlalu ramai yang cuba memikat hatinya. Ada yang terbunuh dalam perlawanan mengincar kasihnya. Ada yang terkorban ketika memelihara maruahnya. Bukan hanya pemuda Melayu, bahkan Jepun dan Inggeris juga.

Namun akhirnya Mar setia pada yang satu. Lelaki itu hadir ketika yang lain telah penat berjuang. Tersungkur kerana terlalu jujur. Tidak pandai berhelah dan berdiplomasi. Tiada percaturan. Tiada perancangan. Akhirnya, pertengahan 40an, bermula episod kesetian makhluk tuhan yang ku gelar Mar...

Walaupun terpaksa menyerahkan sebahagian tanah pusakanya. Tergadai dan dijual. Tanah itu dicemari. Tanah Mar dicuri hasil bumi dan lautnya. Dinodai daratan, lautan dan udaranya. Kekayaan ditanah Mar itu dibahagikan antara tangan-tangan yang rapat dengan lelaki itu. Mar dinafikan haknya di tanahnya sendiri.

Tanah Mar dimajukan. Buat jamban, jalan, jambatan dan bangunan. Tapi Mar juga yang membayar hutang atas kemajuan itu. Apa yang dibina oleh lelaki Melayu itu bukannya percuma. Jangan harapkan istilah nafkah. Cuma yang ada hadiah di ulangtahun. Itupun 4 atau 5 tahun sekali. Mar mintalah apa nak minta sebelum tarikh itu. Akan ditunaikan. Wang akan ditabur dihadapan Mar. Selepas tarikh itu berlalu. Janji hanyalah tinggal janji. Mar terpaksa menanti lagi.

Suatu ketika, berlaku peristiwa berdarah ditanah itu. Gara-gara lelaki Melayu itu ingin bermadu. Akhirnya Mar terpaksa berkongsi apa yang dia miliki selama ini. Keistimewaan Mar sebagai anak jati tanah itu hilang kerana lelaki itu berbagi kasih. Demi menjaga kepentingan orang baru di tanah itu.

Suatu saat tulisan warisan ibunda tidak lagi diajar untuk anak-anak Mar. Sekolah agama yang telah lama dibina diruntuh satu persatu. Satu tanah hanya perlu satu tulisan dan satu bahasa kata lelaki itu. Mar akur juga dengan keputusan itu. Walaupun madunya tetap tidak petah untuk bertutur dalam bahasa tanah itu. Bahasa ibunda Mar tidak maju.

Sebut saja kebejatan di atas muka bumi ini. Murtad, arak, zina, dadah, judi, pelacur, bunuh, samseng, rasuah, pecah amanah dan banyak lagi. Carilah ia di tanah Mar itu. Semuanya ada. Mar beragama Islam. Lelaki itu juga Islam. Agama tanah itu juga Islam. Tapi mengapa semua itu perlu berlaku di tanah milik Mar sendiri.

Hingga hari ini, saat cerita ini aku ditulis. Mar masih setia pada lelaki itu. Jarang ditemui manusia sepertinya. Aku sendiri tak faham. Kenapa harus terus setia kepada orang yang tidak tahu menilai erti kesetiaan dan pengorbanan. Mar berhak membuat pilihan. Mar mempunyai hak untuk menuntut keadilan. Untuk Mar dan generasi akan datang.

Mar bukalah matamu. Marhaen... Mestikah terus setia?.

No comments: