-->

Thursday, March 1, 2007

Mereka Telah Bersabar

Sepasang suami isteri, setelah tujuh belas tahun berkahwin barulah mendapat cahaya mata. Malangnya ketika anak mereka berumur dua tahun setengah, anak itu ditimpa berbagai penyakit kronik. Pendarahan di saluran pernafasan, mati otaknya, buah pinggang gagal berfungsi dan bengkak di sekeliling hati. Ketika doktor memberitahu penyakit anaknya tidak ada harapan sembuh... Si ibu menjawab "Alhamdulillah, semoga Allah menyembuhkan penyakitnya kalaulah sihat adalah terbaik buatnya.

"Sesungguhnya besar ganjaran adalah dengan besarnya ujian. Sesungguhnya Allah jika Dia mengasihi sesuatu kaum, nescaya mereka akan diuji dengan ujian. Barangsiapa yang redha maka baginya keredhaan Allah. Barangsiapa yang tidak bersabar, nescaya Allah juga tidak akan bersabar dengan mereka!" riwayat At-Tirmizi & Ibn Majah

Seorang hamba Allah memiliki tujuh orang anak. Dia amat sayang salah seorang daripada anak-anaknya. Ketika diberitakan kematian anak yang disayanginya, dia berkata "Segala puji bagi Allah, kepada-Nya jua kita dikembalikan. Aku memiliki tujuh orang anak dan yang diambil cuma satu. Aku akan diuji selama aku sihat. Aku berharap dapat dipertemukan di dalam syurga.

Allah juga memberikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Firmannya: "Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. Iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah mereka berkata 'Sesungguhnya kita ini adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kita kembali'. Mereka itulah yang (Allah berikan) kurniaan (dan pengampunan) serta rahmat ke atas mereka, dan mereka itulah orang-orang yang beroleh petunjuk." Al-Baqarah 155-157

Seorang hamba Allah yang memiliki seorang anak kecil dan seekor unta. Suatu hari untanya lari dan dia cuba mengejar. Tapi tak berjaya. Dia kembali kepada anaknya, didapati anaknya telah dibaham serigala. Dia cuba menyelamatkannya tapi gagal. Kemudian dia kembali mengejar untanya. Malangnya matanya pula di tendang oleh untanya sehingga buta.

Ketika ditanya apakah yang engkau katakan selepas itu?. Hamba Allah itu berkata " Alhamdulillah, kerana aku masih memiliki sebuah hati yang tenang dan lidah yang sentiasa mengingati Allah.

Kerana sifat sabar, Allah SWT menjadikan segala urusan orang-orang yang beriman itu baik. Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya." riwayat Muslim

+

No comments: