-->

Sunday, March 4, 2007

Walimatul Urus

Walimah berasal daripada perkataan al-Walmu, bermaksud perjumpaan. Dinamakan walimah kerana kedua-kedua pengantin bertemu di sini.

Maksud walimah ialah makanan kenduri kahwin atau semua makanan yang dibuat untuk memanggil orang atau selainnya.

Hukum Walimah:
Jumhur ulama berpendapat bahwa hukum walimah adalah sunnah, berdasarkan perintah Nabi SAW kepada Abdul Rahman bin Auf :

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أولم ولو بشاة - رواه البخارى

"Buatlah walimah, walaupun hanya dengan seekor kambing".

Kadar Walimah :
Kadar minima bagi orang kaya ialah seekor kambing dan tidak ada kadar maksima dalam mengadakan walimah. Bagi orang miskin kadarnya ialah makanan yang dia mampu.

Hikmah Di Syariatkan Walimah:
Untuk menunjukkan rasa syukur kepada Allah kerana berjaya mengadakan perkahwinan tersebut. Mengeratkan hubungan kasih-sayang dan persaudaraan. Walimah juga diadakan untuk memberitahu kepada orang ramai berita yang dulunya rahsia.

Hukum Menghadiri Undangan :
Menghadiri majlis walimah menjadi fardu ain kepada mereka yang dijemput. Sabda Rasulullah yang bermaksud "Apabila dijemput ke majlis walimah hendaklah kamu hadir". Riwayat Bukhari.

Walimah Yang Wajib Di Hadiri:

i- Jemputan tidak dikhususkan untuk golongan kaya sahaja.

عن أبي هريرة قال: شرالطعام طعام الوليمة يدعى لها الأغنياء ويترك الفقراء، ومن ترك الدعوة فقد عصى الله ورسوله ،
رواه البخارى ومسلم

Sabda Rasulullah yang bermaksud "Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah pernikahan di mana yang diundang hanyalah orang-orang kaya sahaja sementara orang fakir miskin tidak diundang.Barang siapa yang tidak mengundang fakir miskin ketika walimah pernikahan, maka sungguh ia telah berbuat dosa kepada Allah dan RasulNya" Riwayat Bukhari & Muslim.

ii- Orang yang menjemput ialah orang Islam begitu juga orang yang dijemput.

iii- Menghadiri jemputan pada hari pertama, jika walimahnya diadakan lebih daripada sehari. Sunat untuk menghadiri jika dijemput pada hari kedua. Makruh menghadiri jemputan pada hari ketiga.

Sabda Rasulullah yang bermaksud " Walimah pada hari pertama adalah hak. Pada hari kedua pula adalah baik`. Pada hari ketiga adalah berbangga-bangga dan riya".

iv- Jemputan dilakukan untuk menambahkan kasih sayang dan mengeratkan hubungan.

v- Empunya walimah bukan orang yang zalim, jahat atau memiliki harta haram.

vi- Walimah itu tidak terdapat perkara-perkara yang mungkar seperti arak, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan sebagainya. Sabda Rasulullah yang bermaksud "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dia jangan duduk sama sekali dihidangan yang ada arak".

Memakan Makanan Walimah:

Tidak wajib memakan makanan walimah itu. Yang wajib hanyalah hadir. Sabda Rasulullah yang bermaksud "Jika dijemput untuk menikmati makanan, kamu hendaklah pergi. Jika kamu ingin, makanlah makanan tersebut dan jika tidak, kamu boleh meninggalkannya". Riwayat Muslim.

Ada ulama mengatakan wajib makan kecuali jika dia berpuasa.

Sabda Rasulullah yang bermaksud " Apabila dijemput, kamu hendaklah menghadiri jemputan itu. Dan jika tidak berpuasa,kamu hendaklah makan, Dan jika berpuasa, kamu hendaklah berdoa untuk tuan punya walimah".

Berbuka puasa (puasa sunat) lebih afdal jika dipaksa atau diminta oleh empunya walimah. Jika tidak, meneruskan berpuasa lebih afdal. Jika puasa yang wajib seperti nazar hendaklah diteruskan.

Dilarang membawa pulang makanan jika tidak dibenarkan. Dan diharamkan membawa orang yang tidak dijemput.

Wallahua'lam.

No comments: