-->

Friday, April 13, 2007

Penjual Daun Pudina

Usai solat Jumaat aku bingkas, ingin melangkah keluar dari masjid. Hujan telah turun, tapi sekadar rintik-rintik. Niat pulang ke rumah aku teruskan juga. Tiba di beranda masjid, langkah aku terhenti. Kerana aku takut kebasahan. Air hujan turun dengan lebat. Fenomena yang jarang-jarang berlaku di negara ini. Membuat aku teringatkan kampung halaman. Cewahhh...

Anak-anak muda yang berkumpul di halaman masjid turut beredar. Meninggalkan perkarangan masjid. Ada yang berlari pulang ke rumah. Ada yang mencari tempat berteduh. Juga kerana takut kebasahan. Mungkin takut demam. Seorang pakcik lalu di sebelah aku. Menuruni anak tangga, meninjau-ninjau dan terus meredah hujan yang lebat tanpa ketakutan. Mungkin saja dia ada perkara yang lebih penting untuk dikejarkan.

Dalam curahan hujan. Ada tiga orang penjual daun pudina berlarian menghala ke arah masjid dari luar pintu pagar. Ketika mereka menghampiri anak tangga masjid, mereka membelok ke tepi. Tidak naik ke beranda. Padahal beranda tidak penuh. Beranda itu juga sesuai bagi mereka yang dalam kebasahan. Tetapi mereka tetap tercari-cari tempat berteduh. Kenapa mereka tidak mahu berteduh di beranda masjid itu? Aku hanya memerhatikan gelagat mereka.

Akhirnya mereka mengambil tikar-tikar yang masih terhampar. Mereka bertiga berdiri halaman masjid, berpayungkan tikar. Walaupun mereka telah berpayungkan tikar, ia tetaplah tikar bukannya payung. Mereka terus kebasahan. Begitu pun, tidak ada seorang dari kami di beranda memanggil mereka untuk berteduh di beranda. Kami tidak bersikap seperti nabi Nuh ketika anaknya hampir mati kelemasan, walaupun anaknya bersikeras enggan menaiki bahtera nabi Nuh.

Hari ini atau esok, mungkin pengalaman yang sama akan berulang. Ketika ada orang yang berat hatinya untuk menghampiri masjid (Islam), jangan ada yang senang hati untuk memandang tanpa menghulurkan tangan atau kata-kata membantu mereka. Mereka mungkin tidak biasa, mungkin merasa malu tapi mereka sebenarnya ingin. Buktinya, mereka telah berlari ke arah masjid (Islam) itu.

No comments: